Ketua Bersatu Kelantan jangka ‘kejutan’ lantikan pengerusi baharu PN

kamaruddin md nor
Pengerusi Bersatu Kelantan Kamaruddin Nor jangka akan ada kejutan dan perkara luar jangkaan dalam pelantikan pengerusi baharu Perikatan Nasional yang kosong sejak 1 Jan lalu. (Gambar Facebook)

PETALING JAYA: Pengerusi Bersatu Kelantan, Kamaruddin Nor, menjangkakan Perikatan Nasional (PN) akan membuat keputusan mengejut mengenai siapa yang akan memegang jawatan pengerusi baharu gabungan itu.

Kamaruddin berkata dua nama pemimpin PAS dikaitkan dengan jawatan berkenaan, yang kini kosong sejak 1 Jan selepas Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin, meletak jawatan.

“Pada saya kita tidak perlu berteka teki berkaitan siapa yang akan memegang jawatan berkenaan.

“Namun saya jangka akan ada kejutan dan perkara luar jangkaan nanti. Kita tunggu dan lihat nanti,” katanya menurut Berita Harian.

Tambahnya, siapa pun yang dilantik Majlis Tertinggi PN untuk memegang jawatan itu, Bersatu Kelantan menerima keputusan itu dengan hati terbuka.

Kerusi pengerusi PN kini kosong susulan keputusan Muhyiddin meletak jawatan, dipercayai akibat krisis politik di Perlis menyaksikan partinya mengambil alih tampuk pemerintahan daripada PAS.

PAS menyatakan hasrat untuk mengetuai PN dengan beberapa nama dikaitkan antaranya presiden Hadi Awang, timbalan presiden Tuan Ibrahim Tuan Man dan Menteri Besar Terengganu Ahmad Samsuri Mokhtar.

Pelantikan itu akan dibuat pada mesyuarat tertinggi PN yang tarikhnya belum ditetapkan.

Author: admin