
PETALING JAYA: Dua individu yang rentung di dalam kereta terbakar di Plaza Tol Jitra, Lebuhraya Utara-Selatan, awal pagi tadi dikenal pasti sebagai Pang Seng Chin dari Arau, Perlis, dan Tan Hui Shan dari Jelutong, Pulau Pinang.
Ketua Polis Kubang Pasu Mohd Radzi Abdul Rahim berkata, Pang, 20, yang memandu Honda Civic tersebut merupakan seorang peniaga, manakala penumpangnya, Tan, 19, tidak bekerja.
Beliau berkata, bedah siasat di Hospital Sultanah Bahiyah mendapati lelaki itu meninggal dunia kerana cedera di bahagian dada, manakala mangsa wanita maut akibat tersedut asap.
Kedua-dua mangsa melecur teruk susulan kemalangan itu, tambahnya.
“Kedua-dua mangsa didapati maut di tempat kejadian,” katanya, lapor Bernama.
Dalam kejadian pada 1.15 pagi tadi, kenderaan dinaiki mangsa tiba-tiba hilang kawalan lalu melanggar pembahagi lorong tol sebelum terbalik dan terbakar.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
