Sunway cadang ambil alih IJM, Akmal suarakan kegusaran

akmal saleh
Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh berkata, cadangan pengambilalihan IJM oleh Sunway dikhuatiri jejaskan kepentingan nasional dan Bumiputera. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh mempersoalkan cadangan pengambilalihan IJM Corp Bhd oleh Sunway Bhd dalam urus niaga bernilai lebih RM11 bilion, menyifatkan IJM sebagai syarikat yang menguntungkan dan diurus dengan berkesan.

Akmal berkata, cadangan pengambilalihan itu mungkin kelihatan seperti transaksi biasa, namun ia membabitkan kepentingan ekonomi awam, kerajaan dan Bumiputera.

“Kalau IJM ni rugi, tak diurus dengan baik, kita faham, tak ada masalah (untuk diambil alih). Tetapi untuk makluman, IJM ini, tahun sebelum ini, untung saja sebanyak lebih kurang RM964.17 juta.

“Hasil IJM ada RM5.92 billion,” katanya menerusi video dimuat naik di TikTok.

Beliau berkata, hampir separuh saham IJM dipegang oleh entiti-entiti berkaitan kerajaan termasuk Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Perbadanan Nasional Bhd, Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP), Lembaga Tabung Haji dan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT).

Sementara itu, Akmal berkata, Sunway dikawal oleh Jeffrey Cheah, yang memiliki 0.5% kepentingan langsung dan 60% kepentingan tidak langsung.

“Jadi kalau IJM diambil alih oleh Sunway maka IJM ini Sunway punyalah. Ia akan jejaskan kepentingan nasional dan Bumiputera,” katanya.

“Dah lah ekuiti Bumiputera tak banyak. Bila kita nak hapuskan, jual pada Sunway, hilanglah ekuiti Bumiputera dalam syarikat besar dalam negara.”

Dalam pada itu, menurut Akmal, IJM memiliki pelbagai aset strategik termasuk lebuh raya utama seperti New Pantai Expressway (NPE), Besraya, Lekas dan Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE), serta Pelabuhan Kuantan.

Author: admin