RUU had tempoh PM, asing pendakwa raya keutamaan Dewan Rakyat

dewan rakyat
Sesi baharu Parlimen akan dibuka oleh Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim esok dengan sidang berlangsung 20 hari. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Empat Rang Undang-undang (RUU) akan diberi keutamaan bagi dibentangkan di Dewan Rakyat apabila persidangan pertama tahun ini bermula esok, kata jurucakap kerajaan, Fahmi Fadzil.

RUU itu berkaitan dengan mengehadkan tempoh jawatan perdana menteri kepada tidak lebih 10 tahun atau dua penggal penuh, RUU mengenai pemisahan kuasa pendakwa raya dengan peguam negara, RUU Ombudsman 2025, dan RUU berkaitan kebebasan maklumat.

Sesi baharu Parlimen akan dibuka oleh Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim, yang akan menyampaikan titah diraja, di mana secara tradisinya menggariskan agenda perundangan kerajaan.

Ahli Parlimen kerajaan turut diingatkan dalam satu mesyuarat prapersidangan bersama Perdana Menteri Anwar Ibrahim untuk terus fokus kepada tugas. “Beliau mengingatkan kita sebagai Ahli Parlimen, kita ada tanggungjawab bukan hanya untuk hadir, tetapi untuk berbahas dengan baik dalam sidang,” lapor Bernama memetik menteri komunikasi itu.

Dewan Rakyat akan bersidang selama 20 hari, dengan tujuh hari diperuntukkan bermula esok untuk perbahasan titah diraja. Persidangan akan diteruskan dengan waktu pertanyaan menteri pada 4 hingga 10 Feb, diikuti pembentangan RUU dan urusan kerajaan lain dari 11 Feb hingga 3 Mac.

Author: admin