Gagal patuh tatacara punca ketidakaturan perolehan, kata KSN

Shamsul Azri Abu Bakar
Ketua Setiausaha Negara Shamsul Azri Abu Bakar berkata kelemahan proses perolehan lazimnya berpunca daripada kurang kefahaman tatacara perolehan dan kelemahan dalaman pegawai. (Gambar Bernama)

PUTRAJAYA: Ketua Setiausaha Negara (KSN), Shamsul Azri Abu Bakar berkata kelemahan dalam proses perolehan kerajaan berpunca daripada kegagalan mematuhi tatacara ditetapkan, meskipun Kementerian Kewangan (MoF) menyediakan pelbagai bentuk fleksibiliti bagi melancarkan urusan perolehan.

Beliau berkata, ketidakaturan yang berlaku bukan disebabkan sistem semata-mata, tetapi kerana ahli Lembaga Perolehan, jawatankuasa serta pegawai tidak memahami tatacara dan roh (spirit) perolehan sepenuhnya.

“MoF dah buat banyak fleksibiliti dalam (proses) perolehan, tetapi walaupun begitu, kena pastikan setiap tatacara perolehan itu dipatuhi,” katanya selepas program KSN Media Strike Challenge 2026 bersama pengamal media di sini.

“Dia tak boleh nak diatur, dimanipulasi, sesuka hati. Maknanya yang penting sekali, semua ahli Lembaga Perolehan kena faham tatacara perolehan. Bila berlaku ketidakaturan ini kerana ahli lembaga dan jawatankuasa serta pegawai tidak faham ‘the spirit; perolehan itu.”

Menurutnya, kelemahan proses perolehan lazimnya berpunca daripada kurang kefahaman terhadap tatacara perolehan serta kelemahan dalaman pegawai menghayati prinsip dan tujuan peraturan itu diwujudkan.

“Kelemahan berlaku kerana kurang faham tentang tatacara perolehan dan kita punya kelemahan diri.”

Ditanya sama ada ia disebabkan kelemahan pemantauan atau prosedur operasi standard (SOP), Shamsul Azri berkata, ia kombinasi pelbagai faktor, jadi MoF akan memperketatkan lagi garis panduan perolehan bagi semua kementerian dan badan berkanun mengelak ketirisan.

Jumaat lalu, Perdana Menteri, Anwar Ibrahim dilaporkan berkata, semua keputusan perolehan membabitkan tentera, polis serta agensi terkait isu rasuah dibekukan sementara.

Jelasnya, pembekuan itu dilaksanakan kerajaan sehingga proses perolehan dipatuhi sepenuhnya.

Beliau berkata, kerajaan melalui kementerian terbabit akan turut meneliti dan menyusun semula semua perolehan bagi memastikan ketelusan sistem sedia ada.

Susulan itu, Menteri Pertahanan, Khaled Nordin dilaporkan berkata, kementeriannya sedang mendapatkan maklumat serta penjelasan lanjut berhubung arahan terbabit.

Katanya, Kementerian Pertahanan juga sedang meneliti langkah penambahbaikan proses perolehan bagi memperkukuh tadbir urus serta mengelakkan sebarang ketirisan pada masa depan.

Author: admin