
PETALING JAYA: Seorang lelaki yang dihanyutkan arus deras ketika cuba menyelamatkan anaknya semalam ditemukan lemas pada jarak 3m dari lokasi terakhir dia dikhuatiri tenggelam di Sungai Relai, Gua Musang.
Mayat pekerja ladang Mohamad Fakarudin Abdul Halim@Awang, 40, ditemukan oleh anggota bomba kira-kira 12.27 tengah hari tadi, selepas hampir 20 jam hilang.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gua Musang Nor Azizi Che Noh berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang disertai lapan anggota Pasukan Penyelamat Di Air itu tamat pada kira-kira 2 petang.
“Jenazah mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya, lapor Sinar Harian.
Dalam kejadian kira-kira 5 petang itu, Mohamad Fakarudin dikatakan tenggelam selepas berjaya menyelamatkan anak lelakinya berusia 10 tahun yang hampir dihanyutkan arus deras di sungai di RKT Kesedar Lebir 1.
Kejadian dilaporkan berlaku apabila anak lelaki Mohamad Fakarudin dikatakan mahu mengambil seliparnya yang dihanyutkan air di kawasan cetek, namun hampir dihanyutkan arus deras.
Lelaki itu kemudian menyelamatkan anaknya dan sempat mencampakkan kanak-kanak itu ke tebing sebelum dia sendiri dibawa arus deras.
Difahamkan mangsa pergi ke sungai itu bersama ahli keluarganya.
