
KUALA LUMPUR: Kementerian Luar mengesahkan seorang rakyat Malaysia dilaporkan hilang di Jeddah sejak Khamis lepas.
Kementerian Luar (Wisma Putra) memaklumkan, sejak laporan diterima, Konsulat Jeneral segera melaksanakan tindakan penyelarasan bersama pihak berkuasa tempatan dan pihak berkaitan, termasuk menggerakkan pegawainya ke Lapangan Terbang Antarabangsa King Abdulaziz di Jeddah bagi menjalankan usaha pencarian berdasarkan lokasi terakhir individu itu dikesan.
Menurut Wisma Putra, pada 16 Jan, Konsulat Jeneral memudah cara agensi pelancongan Malaysia yang berkaitan dan rakan kongsi tempatannya di Jeddah untuk membuat laporan polis rasmi selaras dengan keperluan peraturan Arab Saudi.
“Sehingga hari ini (Sabtu), Konsulat Jeneral terus berurusan dengan pihak berkuasa tempatan bagi menyegerakan usaha pencarian selain memberikan bantuan konsular kepada waris, serta sentiasa berhubung rapat dengan pihak-pihak yang berkaitan,” katanya dalam kenyataan.
Wisma Putra berkata, butiran terperinci dan perkembangan berkaitan kes itu hanya akan dikongsi kepada ahli keluarga terdekat demi menghormati privasi pihak-pihak yang terlibat.
Mana-mana rakyat Malaysia yang ingin memberikan maklumat berkaitan kes itu boleh menghubungi bahagian konsul Wisma Putra di talian +603-8887 4597, +603-8887 4769, +603-8887 4264 (waktu pejabat), +603 8887 4570 (selepas waktu pejabat) atau melalui e-mel bkrm@kln.gov.my.
Sebelum ini dilaporkan, rakyat Malaysia Nadiah Kasumawati Abdul Karim, seorang pelakon yang juga dikenali sebagai Nadia Kesuma, hilang dan tidak dapat dikesan ketika transit di lapangan terbang antarabangsa di Jeddah dalam perjalanannya dari Kuala Lumpur ke London pada Khamis.
Terdahulu, Menteri Luar Mohamad Hasan memaklumkan kepada media bahawa pihak Imigresen Arab Saudi mengesahkan wanita itu telah meninggalkan kawasan lapangan terbang dan diklasifikasikan sebagai orang hilang selepas gagal dikesan lebih 20 jam.
