
KUALA LUMPUR: Umno Johor menegaskan parti itu mesti berdiri di atas kekuatan sendiri dalam menentukan hala tuju politiknya, tanpa bergantung atau meminjam kekuatan mana-mana pihak luar.
Jurucakapnya yang juga ketua Umno Tebrau Abdul Halim Suleiman berkata prinsip itu perlu menjadi asas kepada semua pertimbangan politik parti, termasuk dalam soal kerjasama atau pembentukan gabungan.
“Bagi Umno Johor, apa yang penting ialah memastikan Umno berdiri di atas kekuatan sendiri,” katanya ketika membahaskan ucapan dasar Presiden pada Perhimpunan Agung Umno 2025.
Beliau berkata kekuatan Umno tidak seharusnya ditentukan oleh mana-mana pakatan atau gabungan politik, sama ada meneruskan kerjasama sedia ada, menghidupkan semula muafakat lama, membentuk gabungan baharu atau bertanding secara solo.
Menurutnya, sebarang bentuk kerjasama politik hanya wajar dipertimbangkan sekiranya Umno kekal kukuh dari dalam, dengan sokongan rakyat serta keupayaan mentadbir yang berkesan.
Kenyataan Abdul Halim itu dilatari dengan persoalan kerjasama bakal diputuskan Umno selaku tonggak Barisan Nasional (BN) pada PRU16.
Ada pendapat supaya BN meneruskan kerjasama bersama Pakatan Harapan menerusi kerajaan perpaduan selain ada mencadangkan bergabung dengan PAS menerusi Muafakat Nasional (MN).
Dalam pada itu, Abdul Halim berkata Umno Johor menyerahkan sepenuhnya soal strategi dan percaturan politik kepada kebijaksanaan pucuk pimpinan.
“Kami semua kelasi dalam sebuah kapal perjuangan. Biarlah nakhoda menentukan arah dan haluan, membawa parti ke destinasi akhirnya,” katanya.
Beliau menambah fokus utama Umno Johor kekal kepada khidmat cemerlang yang benar-benar dapat dirasai rakyat, tanpa terjebak dalam polemik sempit boleh menjejaskan masa depan parti serta negeri.
