
KUALA LUMPUR: Umno komited memulihkan kepercayaan rakyat terhadap Angkatan Tentera Malaysia (ATM) susulan beberapa kes siasatan dan penahanan pegawai yang mencetuskan kebimbangan integriti institusi pertahanan negara, kata Naib Presiden Khaled Nordin.
Khaled, yang juga menteri pertahanan, berkata ATM merupakan benteng utama keselamatan negara dan kepercayaan terhadap institusi itu tidak wajar terhakis hanya disebabkan salah laku segelintir individu.
Beliau berkata, Umno bertekad membanteras rasuah, penyelewengan, dan salah guna kuasa dalam ATM, sambil menegaskan mana-mana pihak yang bersalah perlu diheret ke muka pengadilan tanpa kompromi.
“Kita tidak boleh membiarkan perbuatan segelintir individu mencemar nama baik ratusan ribu anggota ATM yang berintegriti, ikhlas berkhidmat, dan sanggup berkorban jiwa raga demi negara,” katanya ketika ucapan penggulungan Perhimpunan Agung Umno 2025.
Sebelum ini, beberapa pegawai kanan ATM disiasat dan ditahan berkaitan dakwaan salah guna kuasa dan rasuah, sekali gus menimbulkan persoalan awam terhadap tahap integriti badan keselamatan itu.
Dalam pada itu, Khaled turut menegaskan komitmen Umno meneruskan pelaksanaan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 sebagai pelaburan sosial jangka panjang dalam membentuk jati diri dan disiplin generasi muda.
Beliau berkata, bawah PLKN 3.0, sehingga 100,000 belia akan dilibatkan setiap tahun sebagai sebahagian usaha mencorakkan masa depan negara, selain menegaskan kebajikan veteran ATM turut diberi keutamaan menerusi pengenalan beberapa program baharu bagi memastikan mereka tidak tercicir selepas tamat perkhidmatan.
