
PETALING JAYA: Usaha Umno menyatukan orang Melayu di bawah agenda ‘Rumah Bangsa’ hanya boleh berjaya jika tiada partinya bekerjasama dengan DAP, kata seorang pemimpin PAS.
Sehubungan itu, Penolong Setiausaha Agung PAS Syahir Che Sulaiman menyarankan Umno memulakan langkah pertama dengan meninggalkan DAP bagi menjayakan agenda penyatuan ummah.

Ini kerana beliau mendakwa tiada orang Melayu boleh menerima agenda DAP yang kini bekerjasama dengan Umno menerusi kerajaan perpaduan.
“PAS sentiasa terbuka dengan agenda penyatuan ummah atas dasar Ta’awun Siyasi (kerjasama politik) yang meletakkan agenda Islam di hadapan, melebihi kepentingan parti dan peribadi.
“Umno perlu buktikan keikhlasan dengan berani dan bermaruah. Langkah pertama, tinggalkan DAP.
“Tiada rumah orang Melayu boleh terima agenda DAP di dalamnya,” kata Ahli Parlimen Bachok itu kepada FMT.
Semalam, Presiden Umno, Zahid Hamidi memaklumkan agenda ‘Rumah Bangsa’ Umno lebih sesuai untuk menyatukan orang Melayu berbanding konsep payung besar yang didakwa gagal.
Menurutnya, Umno bukan sekadar parti politik, sebaliknya sebuah ‘rumah bangsa’ yang menjadi wadah penyatuan orang Melayu dalam menghadapi cabaran politik dan realiti semasa.

Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man pula berkata penyatuan ummah tidak akan berjaya jika dibina atas parti masing-masing kerana setiap kelompok mempunyai pengikut pelbagai.
“Orang Melayu perlu suatu gabungan besar di luar kerangka parti, kumpulan atau pertubuhan masing-masing.
“Penyatuan ummah mesti berasaskan kepada aspek persamaan yang ada dan mengutamakan aspek persamaan tersebut,” kata Ahli Parlimen Kubang Kerian itu.
