
PETALING JAYA: Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan menggerakkan semua agensi berkaitan serta menggunakan semua peruntukan undang-undang sedia ada dalam usaha membanteras pemalsuan dan penyalahgunaan Mykad dalam kalangan pekerja asing di negara ini.
Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pihaknya memberikan tumpuan serius dalam hal itu, terutama ketika kerajaan sedang melaksanakan penyasaran subsidi dan mengelakkan manfaat itu bocor kepada warga asing.
Beliau mendedahkan, ketika serbuan bersepadu di sebuah kilang elektronik di Selangor baru-baru ini, didapati terdapat pekerja asing menggunakan MyKad palsu selain MyKad orang lain.
Serbuan tersebut dilakukan oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) bersama Jabatan Imigresen serta Jabatan Tenaga Kerja.
“Jadi ditanya apakah hasil siasatan (berhubung perkara itu)? Baru tiga hari (lepas) tapi kami buat apa? Ada tak hasil intipan kami mengatakan pekerja asing ini menggunakan dokumen palsu? Jawapannya ada, pasal dia beli. Saya sendiri bertanya kepada mereka, dia kata dia beli dengan harga RM300.
“Jadi tumpuan atau hala tuju siasatan kami, kami guna semua peruntukan undang-undang yang ada, kami gabungkan semua agensi,” katanya selepas Majlis Penyerahan Inden Projek Mesra Rakyat kepada kontraktor di Kulim Hi-Tech Park hari ini, lapor Bernama.
Saifuddin berkata, siasatan juga akan memfokuskan kepada sistem sokongan berkaitan pekerja asing, termasuk ejen dan majikan, bagi memastikan setiap pekerja asing di negara ini memiliki dokumen yang sah.
Katanya, JPN memiliki sistem data yang tepat dan dipercayai, justeru tidak sukar mengesan sebarang pemalsuan MyKad.
“Adakah penggunaan Mykad palsu boleh? Tidak akan lepas sistem kita sama sekali, jadi lebih baik dihentikan,” katanya.
Terdahulu, Saifuddin yang juga pengerusi bersama Majlis Tindakan Pembangunan Negeri (MTPN) Kedah menyampaikan inden kepada 35 kontraktor bagi melaksanakan Projek Mesra Rakyat bernilai RM2.3 juta di daerah Kulim dan Bandar Baharu.
Projek itu membabitkan pembaikan 10 rumah di daerah Kulim dan tiga rumah di Bandar Baharu serta 17 projek penyelenggaraan infrastruktur di Kulim dan lima projek di Bandar Baharu.
