
PETALING JAYA: Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail berkata pembukaan Pusat Khidmat Rakyat di Padang Serai bukan bermakna beliau akan bertanding di kawasan Parlimen itu pada PRU akan datang.
Sebaliknya, pusat khidmat itu bertujuan memudahkan akses rakyat di selatan Kedah kepada sebarang bantuan disalurkan kerajaan persekutuan.
“Tidak, itu terlalu awal (tentukan kerusi). Saya katakan tadi sebagai pengerusi bersama Majlis Tindakan Pembangunan Negeri (MTPN) saya ada pejabat di Kedah tapi di sana (Alor Setar), di sini di Kedah selatan jadi lebih mudah rakyat dapat akses.
“Saya boleh jadi bertanding, boleh jadi tidak. Boleh jadi di sini, boleh jadi tempat lain. Jadi masih terbuka, saya tak ada sebut secara sah bahawa pembukaan pusat khidmat ini, di sini saya bertanding, tak ada sebut begitu,” katanya menurut Bernama.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Perasmian Pusat Khidmat Rakyat Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, Padang Serai, dekat Kulim, malam tadi.
Saifuddin yang juga ketua setiausaha Pakatan Harapan (PH) sebelum ini pernah memenangi kerusi Parlimen Kulim-Bandar Baharu, namun tewas pada PRU15.
Sementara itu, selaku ketua PKR Kedah, beliau berkata parti itu akan memperkemas gerak kerja sepanjang tahun ini dan menjadi pembangkang yang efektif di negeri berkenaan.
Beliau berkata selaku pembangkang di Kedah, tugas wakil rakyat PH di Kedah bukan sekadar mengkritik, tetapi juga memberi penyelesaian kepada permasalahan rakyat.
