
KUALA LUMPUR: Presiden Umno Zahid Hamidi menegaskan penyertaan parti itu dalam kerajaan perpaduan sejak tiga tahun lalu bukan untuk menyelamatkan dirinya seperti didakwa pihak tertentu.
Menyampaikan ucapan dasar sempena Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2025, Zahid berkata ada pihak tertentu sering meratib dakwaan terbabit.
“Itu tuduhan, Zahid dah selamat pun,” katanya.
Jabatan Peguam Negara (AGC) pada 8 Jan lalu mengumumkan tiada tindakan lanjut akan diambil berhubung 47 tuduhan pecah amanah jenayah, rasuah dan pengubahan wang haram berkaitan dana Yayasan Akalbudi melibatkan Zahid.
AGC menjelaskan tiada tindakan lanjut akan diambil berhubung kes tersebut, memandangkan keterangan yang ada, hasil siasatan susulan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), tidak mencukupi untuk meneruskan pendakwaan bagi semua tuduhan.
Pasukan guaman Zahid yang juga presiden Umno kemudian berkata, pihaknya akan memfailkan permohonan di Mahkamah Rayuan dalam masa terdekat bagi menukar perintah lepas tanpa dibebaskan (DNAA) sebelum ini kepada kepada lepas dan bebas (DAA).
Pada 2023, hakim perbicaraan Collin Lawrence Sequerah membenarkan DNAA bagi Zahid atas 47 pertuduhan berkenaan bagi membolehkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan siasatan lanjut.
BERITA LANJUT MENYUSUL
