
PETALING JAYA: Agenda ‘Rumah Bangsa’ dibawa Presiden Umno Zahid Hamidi akan membuka ruang penyatuan, merapatkan jurang perbezaan dan menyatukan kembali kekuatan politik Melayu.
Ketua Umno Bera, Ismail Sabri Yaakob, berkata ia juga membuka ruang kepada penyertaan semula pihak yang kini berada di luar parti.
“Rumah Bangsa adalah satu pendekatan yang mencerminkan keperluan mendesak untuk mengembalikan penyatuan ummah Melayu dalam landskap politik negara yang semakin mencabar.
“Saya berharap semua pihak benar-benar ikhlas dan jujur untuk melaksanakan agenda besar ini demi agama, bangsa dan tanah air,” kata bekas naib presiden Umno dalam kenyataan.
Bekas perdana menteri mengulas ucapan dasar Presiden Zahid Hamidi sempena Perhimpunan Agung Umno di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, pagi tadi.
Dalam ucapannya, Zahid berkata ‘Rumah Bangsa’ Umno lebih sesuai menyatukan orang Melayu berbanding payung besar yang didakwa gagal sebelum ini.
Menurutnya, gerakan payung besar itu gagal kerana tidak berpaut pada rumah asalnya iaitu Umno.
Sementara itu, Ismail berkata Umno juga perlu bangkit dan keluar dari nostalgia kegemilangannya dan menerima hakikat semasa orang Melayu sudah tidak bersama parti lagi.
“Sokongan orang Melayu kepada kita hanya sekitar 28% sahaja. Dalam keadaan hari ini, penyatuan ummah Melayu amat penting bagi memastikan kedudukan agama dan bangsa tidak terancam,” ,” katanya.
