
PETALING JAYA: Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah takat kuasa diperuntukkan kepada Mahkamah Syariah melalui Perlembagaan wajar dikaji dari semasa ke semasa, termasuk bidang kuasa tahanan reman.
Baginda yang juga Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), bertitah kajian itu bagi memastikan pelaksanaannya dapat dimaksimum tanpa melangkaui kerangka Perlembagaan.
Titahnya, Mahkamah Syariah perlu sentiasa peka terhadap bidang kuasa sedia ada, khususnya dalam bidang kuasa jenayah syariah, bagi memastikan kuasa kehakiman dapat dilaksanakan dengan lebih kemas dan berkesan.
“Pemantapan bidang kuasa jenayah syariah adalah satu keperluan penting dalam usaha memperkukuhkan peranan Mahkamah Syariah sebagai institusi keadilan berwibawa, selari dengan keperluan semasa serta perkembangan sistem perundangan negara.
“Dalam konteks ini, perkara-perkara berkaitan prosedur jenayah, termasuk isu bidang kuasa tahanan reman oleh Mahkamah Syariah perlu diberi perhatian dan dibuat kajian menyeluruh bagi meneliti sama ada terdapat ruang dan keperluan untuk ia dilaksanakan dalam sistem kehakiman syariah pada masa kini,” titahnya.
Tuanku Syed Faizuddin bertitah demikian selepas berkenan berangkat mengetuai Program Kayuhan MAIPs Peduli anjuran MAIPs, di sekitar Kangar.
Program berkenaan bukan sekadar sebuah aktiviti riadah, sebaliknya berkembang sebagai satu jenama ikonik di Perlis, menggabungkan elemen sukan, dakwah, dan kebajikan menerusi satu pendekatan menyeluruh bagi mendekati masyarakat.
Berbeza dengan kaedah penyampaian bantuan secara konvensional yang lazimnya memerlukan pemohon hadir ke pejabat, Program Kayuhan MAIPs Peduli mengetengahkan pendekatan turun padang dengan membawa MAIPs bersama ketua agensi serta jabatan di peringkat negeri dan persekutuan mengunjungi sendiri kediaman rakyat.
Pendekatan ini membolehkan pihak berkenaan menyelami realiti kehidupan golongan asnaf serta mereka yang kurang bernasib baik dengan lebih dekat, menyeluruh, dan berkesan.
Sempena program tersebut, Tuanku Syed Faizuddin berkenan menyempurnakan penyampaian sumbangan agihan zakat MAIPs kepada Ku Maznah Ku Mat, 67, dari Kampung Titi Tok Bandar; Ahmad Suhaimi Husin, 67, dari Kampung Hutan Melintang; serta Talib Ali, 74, dari Kampung Panggau.
