SPRM cadang dakwa beberapa pegawai dalam siasatan perolehan tentera

Azam Baki enggan mendedahkan jumlah kontrak perolehan sedang disiasat atau skala siasatan kerana tidak mahu mensensasikan isu berkenaan.

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan mencadangkan pertuduhan jenayah terhadap beberapa pegawai kanan susulan siasatan melibatkan seorang pegawai tertinggi angkatan tentera dan satu kartel dikaitkan dengan kontrak perolehan tentera.

Ketua Pesuruhjayanya Azam Baki berkata agensi itu akan mencadangkan pertuduhan terhadap ‘seorang atau dua pegawai’ dalam siasatan pertama, manakala ‘sekurang-kurangnya dua orang’ lagi dalam siasatan kedua.

“Kami akan menyerahkan semua kertas siasatan yang telah lengkap kepada pihak pendakwaan pada Isnin depan. Jika ada pertuduhan yang akan dikenakan, saya akan memaklumkan kepada media.

“Ia juga bergantung kepada timbalan pendakwa raya. Mereka mungkin mengenal pasti individu lain untuk didakwa sebagai bersubahat,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat SPRM.

Bagaimanapun, Azam enggan mendedahkan jumlah kontrak perolehan terlibat atau skala keseluruhan siasatan, dengan alasan tidak mahu mensensasikan perkara tersebut.

“Apa yang penting buat masa ini ialah siasatan utama akan diselesaikan menjelang Isnin,” katanya.

Azam berkata siasatan SPRM terhadap kartel kontrak perolehan itu amat sensitif, bukan sahaja kerana melibatkan jumlah wang yang besar, tetapi juga kerana kedudukan tinggi pegawai yang terlibat.

BERITA LANJUT MENYUSUL

Author: admin