Mahkamah dengar hujah pembelaan polis bunuh remaja 26, 27 Mac

Mohd Nazri Abdul Razak
Mohd Nazri Abdul Razak, 45, didakwa bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan, berdepan hukuman mati atau penjara maksimum 40 tahun. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Mahkamah Tinggi Ipoh hari ini menetapkan 26 dan 27 Mac untuk mendengar hujah pembelaan dalam kes melibatkan seorang pegawai kanan polis yang didakwa membunuh seorang remaja berusia 17 tahun tiga tahun lepas.

Hakim Bhupindar Singh Gucharan Singh Preet menetapkan tarikh itu selepas pihak pendakwaan mengemukakan hujahan melibatkan empat elemen pendakwaan, antaranya mendakwa tertuduh, Mohd Nazri Abdul Razak, telah melanggar mangsa, Muhammad Zaharif Affendi Muhd Zamrie, dengan kelajuan tinggi tanpa sebarang tindakan evasif.

Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Afzainizam Abdul Aziz dalam hujahan berkata, tindakan mengejar dan merempuh tanpa membrek di zon sekolah, menunjukkan tertuduh bertindak dengan pengetahuan bahawa perbuatannya boleh mengundang bahaya ke atas mangsa.

Menurutnya, saksi daripada Perodua memaklumkan, data kenderaan menunjukkan Perodua Ativa yang dipandu lelaki itu berada pada kelajuan 90.9km sejam, dengan lampu brek tidak diaktifkan serta tayar bergerak dalam keadaan lurus.

“Oleh itu, adalah jelas bahawa perbuatan tertuduh dilakukan dengan pengetahuan bahawa, ia amat berbahaya sehingga berkemungkinan membawa kepada kematian atau suatu bencana tubuh yang mungkin menyebabkan kematian,” katanya, lapor Bernama.

Selain itu, Afzainizam berkata ketika kejadian, lelaki itu memandu keluar dari SMK Jati dan bergerak ke arah mangsa selepas mendengar bunyi ‘rem’ ekzos, sekali gus menunjukkan tertuduh sedar bahawa kejadian berlaku pada waktu tamat sesi persekolahan.

Pendakwaan dikendalikan Afzainizam bersama Nasrul Hadi Abdul Ghani, manakala lelaki itu diwakili peguam M Athimulan, Mior Faridalathrash Wahid dan Aiman Hakim Kamaruzzaman.

Mohd Nazri, 45, didakwa menyebabkan kematian Muhammad Zaharif Affendi berhampiran SMK Jati di Ipoh, antara 11.55 pagi hingga 12.32 tengah hari pada 15 Dis 2023.

Tuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara maksimum 40 tahun, dan jika tidak dihukum mati, hendaklah disebat tidak kurang 12 sebatan.

Author: admin