
PETALING JAYA: Seorang remaja perempuan dari Ireland bersama ibu bapanya memfailkan saman terhadap seorang pakar psikiatri kanak-kanak dari Malaysia yang kini menjalani hukuman penjara lebih lapan tahun kerana memperdaya serta mendera mangsa secara seksual.
Menurut laporan Irish Independent, mangsa yang kini berusia 18 tahun serta keluarganya turut menamakan Health Service Executive (HSE), iaitu sistem penjagaan kesihatan awam Ireland, sebagai defendan dalam saman berkenaan.
Tindakan undang-undang itu difailkan di Mahkamah Tinggi negara itu dengan Amirul Arif Yunos dinamakan sebagai responden pertama.
Peguam keluarga mangsa, Freda Murphy, berkata pihaknya masih menunggu HSE mengemukakan perincian pembelaan mereka.
Selepas itu, keluarga mangsa akan mengemukakan laporan perubatan bagi menjelaskan kesan penderaan berkenaan terhadap mangsa dan ahli keluarganya.
Pada Disember 2024, Amirul dijatuhi hukuman penjara lapan tahun setengah selepas mengaku bersalah atas kesalahan memperdaya serta mendera mangsa secara seksual.
Beliau mengaku bersalah terhadap enam pertuduhan melakukan perbuatan seksual dengan kanak-kanak, satu pertuduhan mengeksploitasi kanak-kanak secara seksual, serta satu pertuduhan bertemu kanak-kanak dengan tujuan eksploitasi seksual.
Ketika kesalahan itu berlaku, Amirul dilaporkan bertugas di sebuah pusat Perkhidmatan Kesihatan Mental Kanak-Kanak dan Remaja di Clonskeagh, Dublin.
Mangsa berusia 15 tahun ketika kebanyakan kesalahan itu berlaku manakala kejadian terakhir pada September 2023 ketika mangsa berusia 16 tahun.
Amirul dijangka dibebaskan dalam tempoh kurang empat tahun selepas layak menerima pengurangan hukuman sebanyak 25%, sebelum dihantar pulang ke Malaysia.
