
PETALING JAYA: Usanita Sdn Bhd, platform memperkasa usahawan, khasnya wanita sedang berusaha memanfaatkan hubungan Malaysia-Turki dalam meneroka peluang mempromosi fesyen sopan halal di negara Islam.
Ketua Pegawai Eksekutif Usanita, Adzliana Hasan, berkata Istanbul mempunyai potensi besar kerana umat Islam mahu pakaian menutup aurat, patuh syariah dan dihasilkan secara beretika.
“Berdasarkan kajian dan maklum balas yang kami terima, umat Islam di banyak negara kini ingin tahu sama ada pakaian mereka diperbuat daripada bahan halal dan tidak melibatkan amalan dilarang dalam Islam, termasuk penindasan serta eksploitasi pekerja,” katanya selepas mengadakan kunjungan hormat ke atas Konsul Jeneral Malaysia di Istanbul, Ahmad Amiri Abu Bakar, hari ini.
Beliau berkata, unjuran industri menunjukkan perbelanjaan pengguna Islam bagi pakaian dan kasut saja bernilai USD327 bilion pada 2023 dan dijangka meningkat kepada USD433 bilion menjelang 2028.
Adzliana berhasrat meneroka pasaran menguntungkan dengan memanfaatkan hubungan Malaysia-Turki, yang menurutnya semakin kukuh selepas lawatan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim ke negara itu minggu lalu.
Sementara itu, Amiri berkata, usahawan Malaysia perlu merebut peluang meneroka peluang perniagaan di Istanbul, khasnya dalam bidang fesyen, penginapan dan perkhidmatan makanan Malaysia.
“Kami menyambut baik inisiatif Usanita meneroka peluang perniagaan di Istanbul dan yakin ia boleh dilaksanakan kerana hubungan erat pemimpin kedua-dua negara serta tanggapan positif rakyat Turki terhadap Malaysia.”
Amiri berkata, Turki mempunyai potensi besar untuk usahawan Malaysia, khasnya selepas Anwar menyuarakan keyakinan terhadap sasaran baharu perdagangan dua hala Malaysia-Turki sebanyak USD10 bilion boleh dicapai dalam beberapa tahun akan datang.
Katanya, Malaysia dan Turki sudah menandatangani perjanjian perdagangan bebas, yang memudahkan proses usahawan Malaysia meneroka pasaran serra melabur di negara itu.
Pada 2024, Turki merupakan rakan dagang ketiga terbesar Malaysia di Asia Barat, dengan jumlah perdagangan mencecah RM24.15 bilion.
Ia juga destinasi eksport terbesar Malaysia dan sumber import keempat terbesar dalam kalangan negara Asia Barat.
