Umno ‘sauh’ negara, bukan gila kuasa, tegas Tok Mat

PAU umno
Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan berucap merasmikan Perhimpunan Agung Wanita, Pemuda dan Puteri Umno 2025.

KUALA LUMPUR: Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan menepis dakwaan parti itu menyertai kerajaan perpaduan kerana gilakan kuasa, sebaliknya menegaskan langkah diambil demi menyelamatkan negara daripada ketidaktentuan politik.

Beliau berkata, selepas PRU15 Umno sebenarnya sudah bersedia menjadi pembangkang dan menerima hukuman rakyat dengan hati terbuka bagi membina semula kekuatan parti.

PRU November 2022 menyaksikan Barisan Nasional (BN) menang 30 kerusi dengan 26 daripadanya menerusi Umno.

Namun, Mohamad lebih dikenali Tok Mat berkata keadaan negara yang berada di ambang krisis memerlukan Umno memikul tanggungjawab lebih besar apabila Yang di-Pertuan Agong menitahkan pembentukan kerajaan demi kestabilan.

“Parlimen tergantung, politik hampir huru-hara dan ekonomi rakyat terancam. Pada saat itu, Umno dipanggil untuk membantu walaupun kerusi kita tidak banyak,” katanya berucap merasmikan Perhimpunan Agung Wanita, Pemuda dan Puteri Umno 2025.

Mohamad menyifatkan peranan Umno dalam kerajaan sebagai ‘sauh’ yang memastikan kapal negara tidak karam ketika dunia bergolak dan rakyat marah.

“Itu jasa kita kepada rakyat, dan kita tidak perlu minta maaf kerananya.

“Menguruskan negara adalah tentang membaca, memahami, dan menterjemahkan keperluan Malaysia dengan cara terbaik dan paling cermat.

“Agar generasi hari ini menerima manfaat. Dan generasi masa depan tidak kehilangan tempat,” katanya yang dilantik menteri luar negeri dalam Kabinet kerajaan perpaduan diketuai Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Seramai lapan pemimpin Umno dan BN termasuk Mohamad dilantik dalam Kabinet.

Mereka adalah Presiden Umno Zahid Hamidi (timbalan perdana menteri/menteri kemajuan desa dan wilayah) serta Naib Presiden Khaled Nordin (menteri pertahanan) dan Johari Ghani (menteri pelaburan, perdagangan dan industri).

Ketua Penerangan Umno Azalina Othman Said (menteri di Jabatan Perdana Menteri (undang-undang dan reformasi institusi), Ketua Wanita Noraini Ahmad (menteri perladangan dan komoditi) dan Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah Arthur Joseph Kurup (menteri sumber asli dan kelestarian alam).

Mohamad turut menekankan Umno telah memaksimumkan kedudukannya sebagai kuasa pertengahan dan pengimbang selain parti politik yang bertanggungjawab.

Beliau turut memberi amaran kejatuhan kerajaan tanpa pelan penggantian jelas boleh mencetuskan kekosongan kuasa, melemahkan institusi negara dan akhirnya memangsakan rakyat.

“Kita semua mesti sedar bahawa keluar masuk sesebuah kerjasama politik bukan jawapan untuk Umno pulih. Ia bukan jalan keluar yang merawat masalah dan sakit kita.

“Ia hanyalah satu peralihan dan pemesongan fokus yang sangat bersifat jangka pendek,” katanya.

Katanya, sejarah dunia menunjukkan apabila kemarahan mengatasi kebijaksanaan, ekonomi akan runtuh, pelabur lari dan kestabilan negara tergugat.

“Apabila politik menjadi medan dendam, pihak ekstrem muncul. Apabila kepimpinan berpecah, campur tangan asing mula mengintai.

“Inilah yang akan berlaku apabila kemarahan mengatasi kebijaksanaan, dan apabila kuasa dijatuhkan tanpa tanggungjawab untuk membina semula,” katanya.

Author: admin