
PETALING JAYA: Seorang pemimpin PAS mencabar Presiden Umno, Zahid Hamidi untuk terus bersaing secara sihat di medan politik sambil menegaskan tiada keperluan untuk kedua-dua parti itu dibubarkan demi agenda di luar kerangka demokrasi.
Naib Presidennya Idris Ahmad berkata, kedua-dua parti itu seharusnya terus berentap menggunakan hujah, idea, dan akhlak untuk dinilai oleh rakyat.
“PAS dan Umno tidak perlu bubar. Mari kita berlawan di pentas demokrasi.
“Bukan berlawan bertumbuk atau baling kerusi, itu budaya lain, tetapi berlawan hujah, idea dan akhlak sebagai ahli politik,” katanya dalam kenyataan.
Beliau mengulas kenyataan, Zahid pada majlis penutup Multaqa Ilmuwan Islam Malaysia di Pusat Dagangan Dunia, semalam, yang berharap PAS terbubar selepas Umno memasukkan agama Islam dalam perlembagaannya.
Beliau mendakwa, bekas mursyidul am PAS Nik Aziz Nik Mat pernah berkata PAS akan dibubarkan jika Umno meletakkan Islam dalam perlembagaannya. Perhimpunan Agung Umno pada 2019, parti tu meluluskan usul pindaan perlembagaan yang antara lain meletakkan agama di hadapan, disusuli bangsa dan negara.
Ucapan itu muncul di kala Umno bersiap sedia untuk perhimpunan agung tahun ini, ketika ketua Pemudanya sendiri menyatakan hasrat agar Umno dan PAS dapat bersatu ‘demi penyatuan orang Melayu’.
Mengulas lanjut, Idris turut membandingkan pencapaian kedua-dua parti dengan menyifatkan PAS kini semakin diterima melampaui kelompok tradisional ‘orang kampung’ dan pondok.
Katanya, pencapaian 43 kerusi Parlimen pada PRU15 membuktikan PAS kini menjadi harapan ummah, berbanding trend Umno yang dilihat semakin menurun sejak 2004.
