Zahid jumpa Akmal petang ini di sebalik desas-desus letak jawatan

Zahid Hamidi dan Akmal Saleh
Presiden Zahid Hamidi berkata akan bertemu Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh petang ini.

KUALA LUMPUR: Presiden Zahid Hamidi akan bertemu Dr Akmal Saleh petang ini bagi membincangkan hala tuju dan kedudukan ketua Pemuda Umno itu.

Bagaimanapun, Zahid tidak memperincikan butiran pertemuan itu, namun dipercayai berkaitan desas-desus peletakan jawatan Akmal.

“Beliau (Akmal) akan jumpa saya petang ini, tapi saya tidak tahu apa keputusan dia,” katanya ketika ditanya nasib dan kedudukan Akmal menjelang Perhimpunan Agung Umno 2025.

Zahid ditemui selepas majlis perasmian penutup Multaqa Ilmuwan Islam Malaysia di Dewan Tun Dr Ismail, Pusat Dagangan Dunia (WTC).

Semalam, Akmal berkata beliau akan akur dengan keputusan dibuat presiden Umno dan Ketua Menteri Melaka, Ab Rauf Yusoh, berhubung kedudukan jawatan disandangnya ketika ini.

Ini kerana kedua-dua pihak terbabit sebelum ini memilih beliau bertanding sebagai Adun serta dilantik exco kemajuan desa, pertanian dan keterjaminan makanan Melaka.

Akmal, dalam satu hantaran di Facebook berkata hasrat dan isi hatinya telah diluahkan kepada Rauf di Pejabat Ketua Menteri, semalam.

Beliau berkata, Rauf adalah individu bertanggungjawab memperkenalkan perjuangan Umno kepadanya sejak menjadi pemimpin mahasiswa, selain banyak mengajarnya mengenai dunia kepimpinan dan perjuangan.

Sebelum ini, media melaporkan Akmal memberi bayangan untuk berundur daripada dua jawatan disandangnya selepas gesaannya supaya Umno keluar daripada kerajaan perpaduan dan bekerjasama dengan PAS menerima reaksi negatif Zahid.

Author: admin