Tindakan akan diambil jika syarikat bas tak pasang SLD, kata Loke

anthony loke
Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook berkata, JPJ akan jalankan audit keselamatan ke atas syarikat bas dan lori terbabit. (Gambar Bernama)

SERDANG: Siasatan terhadap kemalangan membabitkan beberapa kenderaan, termasuk bas ekspres dengan lori tiga tan, di Lebuhraya Utara-Selatan Ahad lalu kini ditumpukan khusus pada aspek keselamatan, termasuk pematuhan pemasangan peranti kawalan had laju (SLD).

Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook berkata, tindakan akan diambil sekiranya syarikat pengendali bas tidak memasang SLD.

“Bas dan syarikat itu juga akan disiasat sama ada mereka telah mematuhi pemasangan SLD.

“Kalau mereka tak pasang SLD, maka tindakan akan diambil terhadap syarikat itu,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Karnival Pengangkutan Siswa Madani dan FLYSiswa 2026 di Dewan Besar, Pusat Kebudayaan dan Kesenian, UPM.

Kejadian di KM441.2 Lebuhraya Utara-Selatan arah selatan pagi Ahad lepas yang membabitkan bas ekspres, lori dan motosikal menyebabkan seorang maut dan sembilan lagi parah.

Menurut polis, bas sedang bergerak di lorong kanan sebelum dipercayai hilang kawalan lalu terbabas dan melanggar pembahagi jalan menyebabkan ia melintang di tengah lebuh raya.

Lori dan motosikal dari arah sama tidak sempat mengelak lalu melanggar bahagian kiri bas terbabit.

Susulan kejadian itu, seorang penumpang bas, yang juga polis bantuan meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Sungai Buloh, manakala pemandu lori, penunggang motosikal dan tujuh penumpang bas lain yang cedera parah turut dirawat di hospital sama.

Pemandu bas dilaporkan tidak cedera dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Mengulas lanjut, Loke berkata, pihak JPJ juga akan menjalankan Pemeriksaan dan Audit Keselamatan ke atas syarikat bas dan lori tersebut, yang kemudian diserahkan kepada Agensi Pengangkutan Awam Darat (Apad).

Tambahnya, jika gagal audit, syarikat bas dan lori tersebut boleh digantung operasi.

Dalam perkembangan lain, Loke berkata untuk tahun ini, Kementerian Pengangkutan akan memperluas inisiatif bantuan subsidi pembelian tiket penerbangan FLYsiswa kepada empat kategori institusi pengajian tambahan dan dijangka memberi manfaat tambahan kepada 6,278 orang pelajar.

Menurutnya, empat institusi tambahan itu terdiri daripada Akademi Seni Budaya Dan Warisan Kebangsaan (Aswara), Institusi Latihan Jabatan Tenaga Malaysia, universiti separa kerajaan dan institusi pengajian tinggi milik kerajaan negeri.

Loke juga memaklumkan, belum ditetapkan lagi sama ada inisiatif itu akan diperluas kepada pelajar di institusi pendidikan tinggi swasta.

Melalui inisiatif FLYsiswa, setiap pelajar yang layak akan menerima baucar digital bernilai RM400 daripada salah satu syarikat penerbangan yang terlibat, iaitu Malaysia Airlines Berhad, AirAsia Berhad dan Batik Air, termasuk Firefly dan Air Borneo (dahulunya dikenali sebagai MASwings).

Author: admin