
KUALA LUMPUR: Keputusan bahawa tiada tindakan lanjut (NFA) akan diambil berhubung kes berkaitan dana Yayasan Akalbudi, yang melibatkan Zahid Hamidi adalah muktamad, kata peguam negara.
Dusuki Mokhtar berkata kes tersebut tamat setelah pihak pendakwaan mempertimbangkan enam representasi yang dikemukakan oleh pasukan peguam kepada presiden Umno itu, serta fakta dan undang-undang yang relevan.
“Beliau tidak boleh didakwa lagi. Ia selesai,” katanya kepada pemberita selepas majlis pembukaan tahun undang-undang 2026.
Pada 8 Jan lalu, Jabatan Peguam Negara (AGC) mengumumkan tiada tindakan lanjut akan diambil setelah meneliti keseluruhan bahan dan keterangan baharu yang diperolehi hasil siasatan lanjut Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), selepas mahkamah melepaskan tanpa membebaskan Zahid daripada 47 pertuduhan, pada 4 sept 2023.
Menurut AGC, keterangan yang ada tidak mencukupi untuk meneruskan pendakwaan bagi semua pertuduhan melibatkan kesalahan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram.
Zahid didakwa dengan 47 pertuduhan iaitu lapan rasuah, 12 pecah amanah dan 27 pengubahan wang haram.
Mahkamah melepaskan tanpa membebaskan Zahid selepas membenarkan permohonan timbalan pendakwa raya yang memaklumkan AGC ingin memberhentikan semua prosiding terhadap beliau, pada peringkat itu.
BERITA LANJUT MENYUSUL
