UPSR wajar, tapi bukan alat budak 12 tahun ‘tunjuk hebat’, kata ahli akademik

upsr
Ahli akademik, Anuar Ahmad berkata sistem pendidikan memerlukan ‘check point’ pada peringkat tertentu untuk memastikan murid benar-benar menguasai asas pembelajaran. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Seorang ahli akademik berpendapat peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) wajar dikembalikan semula tetapi mestilah atas kerangka baharu yang jelas dan bukan sebagai medan persaingan.

Anuar Ahmad dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), berkata sistem pendidikan memerlukan ‘check point’ pada peringkat tertentu untuk memastikan murid benar-benar menguasai asas pembelajaran.

“Enam tahun persekolahan di sekolah rendah tanpa penanda aras setara menyebabkan guru, ibu bapa serta pembuat dasar tidak dapat mengenal pasti secara tepat tahap literasi dan numerasi murid,” katanya di Facebook.

Anuar Ahmad
Anuar Ahmad.

Menurutnya, sebarang cadangan mengembalikan UPSR juga tidak boleh mengulangi kesilapan lalu apabila ujian tersebut berubah menjadi perlumbaan kecemerlangan antara murid, sekolah, dan negeri.

Katanya, ini menyimpang jauh daripada tujuan asalnya sebagai penilaian pencapaian asas.

“UPSR dulu sudah tersasar. Kita tidak mahu sesat kali ketiga. Jika dilaksanakan semula, masyarakat dan Majlis Penasihat Pendidikan Kebangsaan (MPPK) mesti faham UPSR bukan alat persaingan.

“Ia bukan untuk tunjuk siapa paling hebat pada usia 12 tahun,” katanya.

Anuar yang juga timbalan pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia (Minda) UKM, berkata UPSR tidak seharusnya digunakan sebagai syarat kemasukan ke sekolah berasrama penuh atau program elit kerana ia mencetuskan tekanan tidak perlu kepada murid dan ibu bapa.

Menurutnya, UPSR versi baharu perlu berfungsi sebagai ujian diagnostik nasional yang seragam, bagi menunjukkan sama ada murid telah mencapai standard minimum penguasaan 3M.

“Kalau murid sudah capai, mereka boleh teruskan pembelajaran. Kalau belum, sekolah kena buat intervensi ikut modul yang sesuai, ikut latar belakang murid di bandar atau luar bandar, lelaki atau perempuan,” katanya.

Jumaat lalu, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata KPM akan segera mengkaji semula keperluan untuk mengembalikan peperiksaan UPSR dan PT3.

Fadhlina berkata, MPPK telah diarahkan untuk mengkaji keperluan untuk mengembalikan peperiksaan tersebut.

Katanya, beliau menyerahkan kepada Jemaah Menteri untuk membuat keputusan selepas kajian tersebut dibuat.

UPSR dimansuhkan pada 2021, manakala PT3 dibatalkan tahun sama, sebelum dimansuh pada 2022, dan digantikan dengan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS).

Author: admin