TalentCorp, Yayasan Peneraju tandatangani MoU perkasa bakat Bumiputera

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Peneraju, Ibrahim Sani (dua kanan) dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TalentCorp, Edward Ling (tiga kanan) selepas majlis tandatangani MoU bagi memperkukuh pembangunan bakat Bumiputera dalam industri digital dan sektor pertumbuhan tinggi. (Gambar TalentCorp)

PETALING JAYA: Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp) dan Yayasan Peneraju memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bagi memperkukuh pembangunan bakat Bumiputera dalam industri digital dan sektor pertumbuhan tinggi.

Kerjasama strategik berbilang tahun itu juga sebagai sebahagian usaha menyokong agenda pembangunan tenaga kerja nasional di bawah Kementerian Sumber Manusia (Kesuma).

MoU itu memberi tumpuan kepada pembentukan, pelaksanaan dan peluasan program pembangunan bakat dipacu industri, merangkumi sektor digital, kecerdasan buatan (AI), teknikal serta profesional, selari keutamaan nasional termasuk Ekonomi Madani dan inisiatif MyMahir–National AI Council for Industry (NAICI).

Sebagai bukti keberkesanan pendekatan berasaskan hasil, kerjasama rintis kedua-dua pihak pada 2025 berjaya melatih dan menempatkan 159 peserta Bumiputera ke dalam peluang pekerjaan, dengan gaji permulaan mencecah RM5,000.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TalentCorp, Edward Ling, berkata kerjasama itu mencerminkan komitmen bersama untuk memastikan pembangunan bakat yang lebih berkualiti, relevan dan memberi impak nyata kepada pasaran buruh.

“Sebagai badan pemikir strategik Kesuma, peranan TalentCorp adalah menghubungkan risikan kemahiran, penglibatan majikan dan pengaktifan tenaga kerja melalui platform seperti MyMahir.

“Kami juga memastikan program pembangunan kemahiran selari dengan permintaan industri, khususnya sektor digital dan berasaskan teknologi yang kritikal untuk daya saing Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan.

Kerjasama itu turut melengkapi usaha Yayasan Peneraju dalam memperluas akses kepada pembangunan kemahiran berimpak tinggi melalui pembiayaan tanpa faedah bagi peningkatan kemahiran AI dan teknologi.

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Peneraju, Ibrahim Sani, berkata inisiatif itu mengukuhkan mandat yayasan berkenaan dalam membina keupayaan Bumiputera bagi menyokong penyertaan ekonomi jangka panjang.

“Fokus utama Yayasan Peneraju adalah membangunkan dan menyalurkan 10,000 bakat Bumiputera ke dalam laluan kepimpinan dan sektor pertumbuhan tinggi.

“Kerjasama ini menyatukan pembiayaan, pembangunan kemahiran dan penglibatan majikan dalam satu ekosistem bersepadu yang menterjemahkan latihan kepada kemajuan kerjaya mampan,” katanya dalam kenyataan sama.

Menurut kenyataan itu, kedua-dua pihak juga akan bekerjasama dalam penyelidikan, kepimpinan pemikiran dan risikan kemahiran, disokong struktur tadbir urus bersama bagi memantau pelaksanaan program, penjejakan hasil serta penambahbaikan berterusan.

Author: admin