Tiada pegawai keselamatan punca nahas maut helikopter, menurut laporan

helikopter terbakar bentong
Seorang jurutera pesawat berusia 27 tahun terkorban akibat terkena bilah rotor helikopter semasa proses ‘mengisi bahan api helikopter sementara enjin masih hidup’ di Bentong tahun lalu. (Gambar JBPM)

PETALING JAYA: Penyeliaan tidak cukup di tapak pendaratan menjadi faktor penyumbang utama nahas helikopter di Bentong yang mengorbankan seorang jurutera aeronautik tahun lalu, menurut laporan akhir nahas dikeluarkan minggu ini.

Laporan itu menyebut ketiadaan pegawai keselamatan hadir memantau aktiviti penerbangan dan darat semasa operasi tersebut, yang melibatkan pengisian bahan api helikopter semasa enjin masih hidup.

“Ketiadaan penyeliaan secara langsung bermakna tiada figura berkuasa menguatkuasakan pematuhan terhadap prosedur operasi standard (SOP), memantau tingkah laku kru, atau campur tangan apabila didapati berlaku amalan tidak selamat,” kata laporan Biro Siasatan Kemalangan Udara (BSKU).

Laporan itu menyatakan, punca utama nahas adalah disebabkan input berlebihan dan mendadak oleh juruterbang pada kawalan penerbangan untuk membetulkan keadaan selepas gelincir kanan helikopter itu terlanggar permukaan tanah semasa proses beranjak semula.

Ia menjurus kejadian gulingan dinamik dan kebakaran selepas impak, yang mengakibatkan kematian seorang jurutera aeronautik akibat terkena bilah rotor helikopter berkenaan.

Laporan itu turut mendedahkan pelanggaran SOP berulang bagi proses ‘mengisi bahan api helikopter sementara enjin masih hidup’ dengan rotor masih berpusing. Walaupun risikonya diketahui, bukti video sehari sebelum kemalangan menunjukkan penyimpangan jelas protokol keselamatan.

“Ini termasuklah kehadiran kakitangan darat di bawah cakera rotor utama semasa pendaratan dan kru yang menghampiri helikopter secara pramatang sebelum menerima pelepasan daripada juruterbang,” menurut laporan itu.

Laporan itu selanjutnya mendedahkan kelemahan koordinasi dan komunikasi kru, di mana juruterbang dan jurutera darat memaparkan kurangnya kesedaran situasi bersama, serta penggunaan isyarat komunikasi standard yang tidak berkesan semasa fasa kritikal seperti pendaratan dan peranjakan semula pengisian bahan api.

“Kegagalan berterusan mematuhi prosedur keselamatan dalam beberapa siri operasi menunjukkan berlakunya normalisasi penyimpangan. Lama-kelamaan, pendedahan berulang kepada risiko tanpa sebarang insiden mungkin menyebabkan kru menganggap tingkah laku sedemikian sebagai sesuatu yang boleh diterima, sekali gus menghakis budaya keselamatan dan meningkatkan kemungkinan berlakunya kemalangan,” lapor biro berkenaan.

Biro itu mengesyorkan agar syarikat yang memajak pesawat memastikan kehadiran seorang pegawai keselamatan bagi memantau operasi penerbangan dan menguatkuasakan pematuhan terhadap keperluan komersial dan keselamatan setiap kali aktiviti dijalankan di tapak pendaratan.

Author: admin