Syarikat lari cukai diarah bayar RM900 juta

AZAM BAKI
Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki berkata untuk membuktikan kes lari cukai dilakukan syarikat itu turut membabitkan pemberian rasuah adalah sesuatu yang amat mencabar.

PETALING JAYA: Sebuah syarikat yang terbabit dalam kes lari cukai dikenakan tindakan penalti termasuk kompaun mencecah RM900 juta baru-baru ini.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Azam Baki, berkata hasil kerjasama polis, syarikat yang tidak membayar cukai itu diarah membayar penalti RM600 juta manakala kompaun RM300 juta.

Katanya, kejayaan itu menjadikan SPRM dan polis berjaya mendapatkan semula hasil cukai yang dibawa lari oleh syarikat terbabit.

“Itu baru satu syarikat dan saya tak boleh namakan syarikat berkenaan dan ada satu lagi syarikat dikenakan bayar cukai RM20 juta dan kompaun oleh SPRM RM8 juta menjadikan jumlahnya RM28 juta.

“Kutipan ini pula hasil kerjasama dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri sebab syarikat itu lari cukai selama beberapa tahun,” katanya menurut Harian Metro.

Azam berkata, untuk membuktikan kes lari cukai dilakukan syarikat itu turut membabitkan pemberian rasuah adalah sesuatu yang amat mencabar.

“Ini sukar untuk kita buktikan. Siapa yang dia (syarikat) bayar, bila kata dia bayar itu pula kena buktikan mana duit itu. Katakanlah dah bayar tengok-tengok duit dah habis, nampak tak kesukaran itu.

“Jadi lebih baik saya memilih jalan kita dapatkan duit ini melalui tindakan kompaun dan bayar semula cukai dilarikan tetapi syarikat tetap akan dikenakan tindakan penguatkuasaan lain,” katanya.

Dari sudut kepentingan negara, beliau berkata, pihaknya perlu membuat pertimbangan sama ada membawa kes ke mahkamah atau mendapatkan semula hasil dalam jumlah besar yang boleh dimanfaatkan oleh kerajaan pada bila-bila masa.

“Jika pergi tuduh ke mahkamah, dia (pesalah) kena hukuman sebat, denda lepas itu pesalah kata tidak boleh bayar dan jika syarikat pula nak tuduh siapa, pengarah urusan dia ke, pengerusi dia ke atau ahli lembaga pengarah dia ke, siapa yang nak dituduh?

“Jadi lebih baik kita dapatkan RM900 juta itu kembali kepada kerajaan dan boleh digunakan untuk rakyat,” katanya.

Author: admin