Jawatan timbalan menteri bukti DAP bukan ‘parti Cina’, kata Mordi

Mordi Bimol - Mas Gading MP
Ahli Parlimen Mas Gading Mordi Bimol dilantik sebagai timbalan menteri belia dan sukan ketika rombakan Jemaah Menteri Anwar Ibrahim bulan lepas.

PETALING JAYA: Ahli Parlimen Mas Gading Mordi Bimol berkata, pelantikannya sebagai timbalan menteri belia dan sukan pada peringkat persekutuan membuktikan bahawa partinya, DAP, bukan sekadar medan untuk pemimpin Cina.

Mordi yang juga naib pengerusi DAP Sarawak menyifatkan pelantikan itu sebagai bukti bahawa DAP memberikan kedudukan penting kepada pemimpin Dayak, sekali gus menyangkal persepsi bahawa parti itu didominasi oleh masyarakat Cina.

“Orang kata DAP parti Cina. Saya Dayak dan saya tidak cakap atau faham bahasa Cina, tetapi saya sertai DAP,” katanya, lapor The Borneo Post

“Sebagai timbalan menteri sekarang, saya lihat ini sebagai peluang dan tanggungjawab untuk buktikan bahawa orang Dayak (juga) boleh berjaya dalam DAP.”

Ahli Parlimen dua penggal itu berkata, beliau menyertai DAP pada 2011 atas keinginan membawa perubahan dan berkhidmat kepada rakyat Mas Gading.

Beliau mengucapkan terima kasih kepada Ketua DAP Sarawak Chong Chieng Jen dan kepimpinan pusat parti atas kepercayaan meletakkannya sebagai calon pilihan raya pada 2018, walaupun beliau pernah tewas dalam dua pilihan raya sebelumnya.

DAP pertama kali mempertaruhkan Mordi sebagai calon pada PRU 2013, di mana beliau tewas kepada Anthony Nogeh Gumbek, yang ketika itu mewakili Barisan Nasional (BN), dengan perbezaan 2,156 undi.

Mordi dicalonkan sekali lagi pada PRN Sarawak 2016 bagi kerusi Tasik Biru tetapi tewas kepada Henry Harry Jinep (BN).

Bagaimanapun, pada PRU 2018 (PRU14), beliau akhirnya menewaskan Anthony untuk memenangi kerusi Mas Gading dengan majoriti 3,024 undi.

Pengaruhnya semakin besar pada PRU 2022 (PRU15) apabila beliau menang dengan majoriti 5,480 undi.

Ketika rombakan Jemaah Menteri oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim bulan lepas, yang menyaksikan pelbagai perubahan portfolio, Mordi diberi tanggungjawab menjadi timbalan menteri belia dan sukan.

Author: admin