Hadi seru segera panggil mesyuarat tergempar PN, lantik pengerusi baharu

Muhyiddin-Yassin-Hadi-Awang
Presiden PAS Hadi Awang mahu mesyuarat tergempar Majlis Tertinggi PN dipanggil segera memandangkan peletakan jawatan Muhyiddin Yassin sudah berjalan melebihi 10 hari.

PETALING JAYA: Presiden PAS Hadi Awang menyeru dipanggil segera mesyuarat tergempar Majlis Tertinggi (MT) Perikatan Nasional (PN) untuk menerima dan mengesahkan peletakan Muhyiddin Yassin selaku pengerusi gabungan, termasuk pelantikan baharu jawatan itu.

Hadi, bertindak sebagai timbalan pengerusi PN, berkata PAS menghormati dan menerima keputusan diambil peletakan jawatan Muhyiddin berkuat kuasa pada 1 Jan, selain merakamkan penghargaan atas segala khidmat dan jasa baktinya.

“Justeru, bagi tujuan kelangsungan pentadbiran PN, maka saya sebagai timbalan pengerusi PN berpandangan hendaklah disegerakan suatu panggilan mesyuarat tergempar MT PN bagi memenuhi keperluan Fasal 8.3(I)(b) Perlembagaan PN.

“Iaitu menerima dan mengesahkan peletakan jawatan pengerusi PN dan melantik pengerusi PN baharu,” katanya dalam surat bertarikh semalam dengan dimajukan untuk tindakan oleh timbalan setiausaha agung PN.

Katanya, perkara itu perlu diambil perhatian dan tindakan sewajarnya memandangkan tarikh kuat kuasa peletakan jawatan tersebut telah berjalan melebihi 10 hari.

Pada 1 Jan, Muhyiddin dan Setiausaha Agung PN Azmin Ali meletak jawatan masing-masing berkuat kuasa 1 Jan.

Muhyiddin menerajui gabungan itu sejak 7 Ogos 2020, ketika ia didaftarkan secara rasmi.

Pengumuman ini susulan kemelut politik di Perlis, yang menyaksikan Adun Sanglang daripada PAS, Shukri Ramli, meletak jawatan menteri besar dan digantikan Adun Kuala Perlis daripada Bersatu, Abu Bakar Hamzah.

Author: admin