Mahkamah kekal perjanjian mas kahwin 40 tahun lalu babitkan tanah di Ampang

shah alam court
Mahkamah Tinggi Shah Alam memutuskan bahawa sebidang tanah di Ampang adalah hak pasangan A Meenambigai dan N Manoharan selepas ia dijadikan sebagai mas kahwin mereka oleh ibu bapa Meenambigai, 40 tahun lalu.

PETALING JAYA: Mahkamah Tinggi Shah Alam mengekalkan kesahihan sebidang tanah yang dijanjikan sebagai mas kahwin hampir 40 tahun lalu, sekali gus mengesahkan hak sepasang suami isteri walaupun dicabar oleh adik-beradik pihak isteri.

Hakim Choong Yeow Choy memutuskan bahawa ibu bapa A Meenambigai dengan jelas berniat supaya harta tersebut dijadikan mas kahwin untuk perkahwinannya dengan N Manoharan.

“Bahasa dalam perjanjian itu tidak membenarkan sebarang tafsiran munasabah yang lain,” katanya, sambil menambah bahawa mahkamah telah meneliti dokumen berkenaan secara keseluruhan bersama bukti sekeliling.

Di bawah perjanjian bertarikh 19 Okt 1986, ibu bapa Meenambigai telah memformalkan hadiah sebidang tanah seluas 465 meter persegi di Ampang, Selangor, milik bapanya, A Arasaratnam.

Perjanjian itu menetapkan bahawa pemindahan hak milik tanah tersebut kepada pasangan berkenaan hanya akan dibuat selepas kematian Arasaratnam dan isterinya, A Sarojini Devi.

Meenambigai dan Manoharan, yang kini masing-masing berusia 68 tahun, beritahu mahkamah bahawa tanah tersebut merupakan sebahagian daripada mas kahwin yang dijanjikan oleh ibu bapanya ketika perkahwinan mereka.

Bagaimanapun, dua adik lelaki Meenambigai, A Sivakumar, 65, dan A Sivalingam, 63, mempertikaikan tuntutan itu dengan berhujah bahawa mendiang bapa mereka tidak pernah bersetuju untuk beri tanah berkenaan sebagai mas kahwin.

Mereka juga mendakwa perjanjian tersebut sekadar merekodkan persetujuan ibu bapa terhadap perkahwinan itu, dan tanah berkenaan kekal sebagai sebahagian daripada harta pusaka Arasaratnam yang belum ditadbir serta tertakluk kepada pembahagian di bawah Akta Pembahagian 1958.

“Dengan segala hormatnya, mahkamah ini tidak dapat menerima hujah tersebut,” kata Choong dalam penghakiman bertulisnya ketika memutuskan kes memihak kepada Meenambigai dan Manoharan.

Pasangan itu memohon perintah supaya pentadbir tanah Hulu Langat mendaftarkan tanah berkenaan atas nama Meenambigai selepas kematian Sarojini, memandangkan Arasaratnam meninggal dunia lebih awal.

Author: admin