Lawatan rumah ibadat ruang mahasiswa bina kefahaman, nilai perpaduan

Universiti sering dianggap medan terbaik untuk membina kefahaman dan kematangan berfikir. Namun, realitinya ramai mahasiswa hadir ke kampus dengan pengalaman sosial yang terhad dan pelbagai; membesar dalam kelompok hampir serupa dari segi agama, bangsa dan budaya. Apabila mereka berdepan dengan perbezaan, reaksi yang lahir bukan tentang kebencian tetapi rasa kekok dan takut tersalah langkah. Di sinilah persoalan perpaduan perlu difahami secara lebih jujur dan membumi.

Apakah sebenarnya yang dimaksudkan dengan perpaduan dalam konteks masyarakat majmuk di Malaysia? Adakah ia penyatuan agama dan kepercayaan? Atau sekadar usaha membina keharmonian sosial agar kita mampu untuk hidup bersama tanpa rasa curiga walaupun berbeza pegangan?

Perlu ditegaskan, perpaduan bukanlah usaha menyamakan agama atau percubaan mencairkan akidah. Ia tidak menuntut persetujuan teologi, apatah lagi pengorbanan prinsip. Sebaliknya, perpaduan merujuk kepada keupayaan rakyat untuk hidup bersama secara aman, saling menghormati dan berfungsi dalam satu ruang kenegaraan yang sama. Dalam konteks ini, perbezaan bukanlah ancaman. Kegagalan kita menguruskan perbezaan itulah punca kepada perpecahan.

Ruang pembelajaran sosial

Atas kefahaman inilah, Kolej Rahim Kajai Universiti Kebangsaan Malaysia mengambil inisiatif melaksanakan program lawatan ke rumah ibadat pelbagai agama di Malaysia yang terdiri daripada masjid, kuil, tokong dan gereja sebagai salah satu medium pembelajaran kepada mahasiswa pelbagai bangsa yang baik dan sukar diperoleh dalam bilik kuliah.

Ia bukanlah sebuah acara simbolik atau sekadar memenuhi agenda program kolej semata-mata, sebaliknya mahasiswa berpeluang melihat sendiri bagaimana rumah ibadat berkenaan bukan sahaja sebagai tempat ritual keagamaan tetapi berfungsi sebagai pusat komuniti, pembentukan nilai moral dan tanggungjawab sosial. Program lawatan berkenaan diadakan pada 6 Dis 2025 melibatkan 80 peserta pelbagai kaum anjuran Biro Integrasi dan Perpaduan Kaum Kolej Rahim Kajai. Rumah ibadat terpilih untuk program silang budaya itu terletak di sekitar Lembah Klang iaitu Masjid Negara, Tokong Thean Hou, Kuil Sri Kandaswamy dan St Mary’s Cathedral.

Pelaksanaan program ini ternyata memberikan pengalaman sangat menarik serta bermakna kepada peserta. Salah seorang peserta iaitu Hazim, 20, mengakui lawatan itu mengubah cara pandangannya. Katanya, melihat sendiri amalan di kuil dan tokong membuatkannya sedar nilai hormat dan disiplin itu wujud merentasi agama. Ia bukan soal bersetuju tetapi belajar memahami.

Bagi Laxshan, mahasiswa berbangsa India, interaksi bersemuka itu menumbuhkan empati. Menurutnya, apabila rakan bertanya dengan penuh rasa ingin tahu, bukan menghakimi, beliau rasa dihormati sebagai manusia, bukan sekadar wakil satu agama.

“Saya juga dapat memahami falsafah di sebalik setiap ukiran di dinding masjid dan menghayati bagaimana rakan Muslim saya menjalankan solat. Pengalaman ini membuka mata saya tentang nilai-nilai universal dalam setiap agama,” katanya.

Sementera itu, Jae Syn, mahasiswa berbangsa Cina menyifatkan lawatan berkenaan sebagai pengalaman yang membuka perspektif terhadap kepelbagaian agama dan budaya. Katanya, setiap agama menekankan nilai kebaikan dan tanggungjawab sosial. Perbezaannya pada cara, tetapi tujuannya hampir sama.

Interaksi secara langsung ini amat penting kerana banyak prasangka antara agama lahir bukan daripada realiti, sebaliknya daripada andaian yang diwarisi tanpa pernah diuji. Pengalaman seperti ini diperlukan oleh mahasiswa untuk memecahkan tembok stereotaip kerana dalam banyak keadaan, konflik berpunca bukan kerana perbezaan tetapi kerana kejahilan tentang sesuatu perkara.

lawatan rumah ibadat email pic 9126 3

 Perpaduan asas keharmonian

Perpaduan tidak lahir melalui kehadiran fizikal semata-mata. Lawatan tanpa refleksi hanya melahirkan pengalaman kosong. Gambar tersusun cantik di media sosial juga tidak membawa sebarang makna jika mahasiswa tidak disusuli perubahan cara fikir dan sikap. Perpaduan hanya bernilai apabila pengalaman diterjemahkan kepada kefahaman dan kefahaman itu pula membentuk tindakan dalam kehidupan seharian. Inilah mesej tersurat dalam Rukun Negara yang menjadi pegangan kita sebagai rakyat Malaysia.

Dari sudut fakta sosial, pelbagai kajian menunjukkan interaksi antara kumpulan, mampu mengurangkan prasangka dan membina empati. Pendidikan tinggi ialah fasa kritikal pembentukan nilai seseorang individu. Jika kefahaman ini gagal dipupuk di peringkat kampus, maka masyarakat berisiko melahirkan generasi dewasa yang terus terperangkap dalam sentimen perbezaan.

Sebagai negara majmuk, Malaysia tidak boleh hanya berpegang kepada slogan semata-mata untuk mengekalkan keharmonian. Ia mesti diusahakan secara berterusan dan konsisten oleh setiap warga. ‘Perpaduan asas keharmonian mesti difahami sebagai sebuah prinsip dan bukan hiasan retorik. Perpaduan ialah asasnya, bukan destinasi akhir. Keharmonian yang diidamkan hanya akan lahir melalui perbezaan yang diuruskan dengan adab, keberanian dan kebijaksanaan.

Perpaduan yang matang tidak menuntut kita menjadi sama pada semua perkara. Ia menuntut kita belajar hidup bersama dalam perbezaan dengan yakin pada pegangan sendiri dan hormat terhadap pegangan orang lain tanpa mencabar kedudukan yang telah tertakluk dalam Perlembagaan Persekutuan.

Pelaksanaan program ini turut mencerminkan komitmen institusi dalam membina ekosistem kampus yang matang dan inklusif. Sokongan Pusat Hal Ehwal Pelajar (HEP) bersama kepimpinan tertinggi Kolej Rahim Kajai UKM, membolehkan inisiatif seperti ini dilaksanakan secara berfokus dan berimpak. Usaha berterusan pihak pengurusan institusi amat penting supaya ruang pembelajaran sosial sebegini terus diperkasa sebagai sebahagian proses pembentukan karakter dan kewarganegaraan mahasiswa.

 

Penulis ialah penuntut Universiti Kebangsaan Malaysia.

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.

Author: admin