
PETALING JAYA: Naib Presiden Bersatu Ronald Kiandee mengulangi gesaannya tahun lalu supaya Parlimen meneliti dan meminda semula undang-undang anti-lompat.
Ahli Parlimen Beluran itu membuat gesaan terbabit susulan keputusan Mahkamah Persekutuan hari ini menolak permohonan Bersatu terhadap empat bekas ahlinya untuk mengosongkan kerusi Parlimen.
Beliau berkata keputusan majoriti 2–1 itu menafikan semangat dan hasrat sebenar undang-undang berkenaan, sekali gus menjadikannya tidak berkesan dari segi pelaksanaan.
“Keputusan ini secara jelas menafikan roh dan objektif undang-undang anti-lompat parti, sehingga ia gagal memberi kesan sebenar terhadap integriti sistem demokrasi dan mandat rakyat,” katanya di Facebook.
Kiandee berkata perkembangan itu menunjukkan keperluan mendesak untuk Parlimen mengkaji semula, meminda dan memperkukuhkan undang-undang itu supaya benar-benar mampu mengekang tindakan lompat parti serta menjamin kestabilan politik.
“Sekiranya Parlimen tidak bersedia atau tidak berani untuk memperbetulkan kelemahan yang ketara ini, maka lebih baik undang-undang tersebut dimansuhkan sahaja,” katanya.
Terdahulu, Mahkamah Persekutuan menolak permohonan Bersatu bagi mengosongkan kerusi empat Ahli Parlimen Sabah kerana berpaling tadah, sekali gus mencetuskan perdebatan semula mengenai keberkesanan undang-undang anti-lompat parti yang berkuat kuasa sejak 2022.
Kerusi itu disandang oleh Armizan Mohd Ali (Papar), Khairul Firdaus Akbar Khan (Batu Sapi), Jonathan Yasin (Ranau) dan Matbali Musah (Sipitang).
Pada 17 April 2023, Mahkamah Tinggi menolak permohonan parti itu untuk mendapatkan kebenaran merayu dalam perkara berkenaan. Keputusan itu disahkan oleh Mahkamah Rayuan tahun lalu, sekali gus membawa kepada prosiding ini.
Bersatu memfailkan saman bagi mencabar keputusan Speaker Johari Abdul, yang enggan mengisytiharkan kekosongan luar jangka bagi empat kerusi tersebut selepas Ahli Parlimen berkenaan menyatakan sokongan kepada kerajaan perpaduan pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
