
PETALING JAYA: Jongkong dan keping emas antara barangan yang disita badan anti-rasuah dalam siasatan berkaitan perolehan tentera darat.
Sumber memaklumkan bahawa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyita tiga jongkong emas ‘999’ setiap satu seberat 1kg, dan sembilan keping emas setiap satu seberat 100g.
Menurutnya, nilai semasa tiga jongkong emas berkenaan kira-kira RM1.8 juta, manakala nilai semasa sembilan keping emas itu pula lebih setengah juta ringgit.
“Sitaan tersebut hasil pemeriksaan kenderaan utiliti sukan berprestasi tinggi (SVR) di sebuah bengkel sekitar Lembah Klang yang dipercayai ditinggalkan untuk tujuan pembaikan,” katanya.
Turut disita wang tunai dalam pelbagai mata wang asing, meliputi dolar Amerika Syarikat, Euro, pound, yen, dan riyal Arab Saudi; dan SVR diangarkan bernilai kira-kira RM360,000.
Nilai keseluruhan barangan disita dianggarkan bernilai kira-kira RM6.9 juta, katanya.
Pengarah Kanan Bahagian Siasatan, Zainul Darus mengesahkan perkara tersebut ketika dihubungi.
Kes disiasat bawah Seksyen 16(b) Akta SPRM.
Semalam, bekas panglima tentera darat direman tujuh hari bagi membantu siasatan kes rasuah berkait projek perolehan tender pasukan keselamatan itu.
Seorang daripada isterinya pula direman enam hari manakala seorang lagi direman tiga hari selepas kedua-duanya turut ditahan SPRM, kelmarin.
Tiga individu terbabit dibawa ke mahkamah semalam untuk proses permohonan reman bagi membantu siasatan kes berkenaan.
