
PETALING JAYA: Ahli Parlimen Papar Armizan Mohd Ali membuat laporan polis berhubung gangguan kritikal bekalan air di Kinarut dan Kawang, Papar yang dipercayai berpunca daripada unsur sabotaj terhadap infrastruktur utiliti awam.
Armizan berkata, tindakan itu diambil susulan dapatan Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) yang mengesan berlaku gangguan ke atas injap pintu air (sluice valve) di dua pam penggalak (booster pump) yang membekalkan air ke kawasan berkenaan sejak hujung Disember lalu.
Menterip erdagangan dalam negeri dan kos sara hidup itu berkata ‘gangguan’ menyebabkan sumber bekalan air ke kawasan sedia ada dalam jadual catuan bertambah, berkurangan sekali gus mendatangkan kesulitan serius kepada penduduk.
“Bersandarkan kepada laporan tersebut, malam semalam saya telah membuat keputusan untuk membuat laporan polis sendiri di Balai Polis Kinarut.
“Tujuan laporan dibuat adalah meminta polis membuat siasatan terhadap tindakan yang dilihat melibatkan unsur khianat dan sabotaj ke atas infrastruktur dan utiliti awam yang telah mendatangkan kemudaratan awam,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, walaupun JANS memberikan komitmen untuk membuat siasatan dalaman, beliau berpendirian situasi itu turut perlu disiasat polis kerana melibatkan unsur kesalahan jenayah.
“Saya berharap polis akan membuat tindakan susulan segera,” katanya.
Sementara itu, Armizan berkata mesyuarat khas semalam mengenal pasti beberapa strategi mengatasi gangguan bekalan air yang akan dilaksanakan segera, selain memastikan penghantaran bekalan melalui ‘water tanker’ diteruskan dengan kerjasama pelbagai pihak.
Katanya, antara strategi dikenal pasti ialah melaksanakan penyambungan silang antara rangkaian paip dari tangki utama Loji Rawatan Air (LRA) Kogopon (P1) terus kepada rangkaian paip tangki utama Kawang (P3).
Menurutnya, usaha lain juga diambil bagi meningkatkan kapasiti pemprosesan rawatan air LRA Kogopon 1 sedia ada sebanyak 10% daripada kadar kapasiti maksimum semasa 40 JLH sebagai langkah interim sehingga LRA Kogopon 2, yang sedang dalam pembinaan dengan kapasiti tambahan 40 JLH, siap pada suku keempat 2026.
“Peningkatan kapasiti LRA Kogopon 1 memerlukan naik taraf dan penggantian tiga buah pam rawatan air di LRA Kogopon,” kaatnya.
