
PETALING JAYA: Pemuda PAS Selangor menggesa pihak berkuasa menyiasat penganjuran sebuah program tular yang didakwa mempromosikan gaya hidup songsang dan normalisasi ideologi gender.
Ketua Pemudanya Sukri Omar berkata penganjuran program sedemikian secara terang-terangan mencabar nilai agama, budaya serta kerangka perundangan negara.
“Penganjuran program sebegini bukan isu kebebasan semata-mata, ia menyentuh soal ketenteraman awam, moral masyarakat, keselamatan sosial dan perlindungan generasi muda.
“Lebih membimbangkan apabila wujud unsur propaganda gaya hidup songsang secara terbuka, terancang dan berunsur pengaruh sosial,” katanya dalam kenyataan.
Tular di media sosial poster penganjuran program ‘Glamping With Pride’ anjuran sebuah persatuan yang menggelarkan organisasinya sebagai kumpulan sokongan pemuda ‘queer, gay dan biseksual’.
Pautan pendaftaran program itu turut memaparkan lima pilihan gender iaitu lelaki cisgender, perempuan cisgender, lelaki transgender, perempuan transgender dan bukan binari.
Program itu dirancang di Hulu Langat.
Beliau turut menyeru semua pihak agar menghormati undang-undang negara dan menghentikan sebarang cubaan mengimport ideologi asing yang bercanggah dengan jati diri Malaysia.
