
PETALING JAYA: Seorang pemandu lori ais dipenjara 12 bulan oleh Mahkamah Majistret di Pontian atas lima tuduhan membabitkan pencerobohan bangunan dan pelupusan harta curi melibatkan beberapa Pusat Sebaran Maklumat Nasional (Nadi) di daerah itu tahun lepas.
Majistret Nurhafiza Haron menjatuhkan hukuman ke atas Muhd Haziq Elvy Rimoy, 43, yang mengaku bersalah melakukan perbuatan tersebut, lapor Bernama.
Mengikut tuduhan pertama, Muhd Haziq didakwa menceroboh masuk Pusat Nadi di Balai Raya Bandar Permas, Kukup, tanpa kebenaran dengan niat menyalahi undang-undang pada 15 Mei 2025.
Dia dituduh mengikut Seksyen 447 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum enam bulan atau denda hingga RM3,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Bagi tuduhan kedua, tertuduh didakwa menceroboh Pejabat Pusat Nadi di Taman Nilam, juga tanpa kebenaran, dengan niat menyalahi undang-undang pada awal pagi 6 Dis 2025, mengikut Seksyen 448 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara hingga tiga tahun atau denda atau kedua-duanya.
Muhd Haziq turut didakwa menceroboh Pusat Nadi di Batu 1, Sungai Pinggan, Benut dengan niat mencuri pada tengah malam 25 Dis 2025, mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga lima tahun dan boleh dilanjutkan hingga 14 tahun jika melibatkan kecurian.
Selain itu, dia juga didakwa melupuskan serta membantu melupuskan dua unit dekoder kamera litar tertutup (CCTV), masing-masing milik Peladang Pekan Nenas dan Pusat Nadi Parit Sapran, yang diketahuinya sebagai harta curi.
Perbuatan itu didakwa setelah tertuduh memandu arah lokasi pelupusan harta berkenaan pada 29 Dis 2025, mengikut Seksyen 414 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Muhd Haziq dijatuhi hukuman penjara enam bulan bagi tuduhan pertama manakala penjara 12 bulan bagi empat tuduhan lain.
Bagaimanapun, mahkamah memerintahkan kesemua hukuman itu berjalan serentak bermula dari tarikh tangkap pada 27 Dis lepas.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Anis Sahira Rosley manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan Zulyatie Awang.
