
PUTRAJAYA: Kementerian Ekonomi akan memastikan projek kecil di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) dilaksanakan segera bagi memastikan manfaat pembangunan dapat dirasai secara langsung rakyat kebanyakan.
Menteri Akmal Nasir berkata komitmen itu selari amanat Perdana Menteri Anwar Ibrahim dalam Perutusan Tahun Baharu 2026 yang menyentuh secara khusus peranan Kementerian Ekonomi dalam mempercepatkan pelaksanaan projek kecil.
“Projek kecil mungkin nampak kecil dari sudut nilai kewangan, tetapi kesannya besar kepada rakyat. Ia melibatkan jalan kampung, kemudahan asas, akses air bersih, pembaikan infrastruktur setempat… perkara yang dekat dengan kehidupan harian,” katanya pada Majlis Amanat Tahun Baharu 2026 Kementerian Ekonomi.

Menurutnya, persepsi hanya projek mega memberi impak kepada ekonomi perlu diperbetulkan kerana projek kecil lebih pantas disiapkan dan memberi kesan terus kepada komuniti setempat.
“Kita tidak boleh hanya terpesona dengan projek besar. Jika projek kecil ini lambat atau tertangguh, rakyat akan berasa kerajaan jauh daripada masalah mereka,” katanya.
Akmal berkata cabaran utama kementerian bukan sahaja memastikan pertumbuhan ekonomi makro kekal positif, tetapi memastikan hasil pertumbuhan itu dirasai secara adil oleh rakyat di pelbagai kawasan dan lapisan masyarakat.
“Kita bimbang apabila angka pertumbuhan baik tetapi tidak dihargai atau tidak dirasai rakyat. Di sinilah pentingnya projek kecil – ia menjadi jambatan antara angka di atas kertas dan realiti di lapangan,” katanya.
Beliau menegaskan kementeriannya akan memberi perhatian khusus kepada pelaksanaan, pemantauan dan penyiapan projek kecil supaya ia bukan sahaja dilaksanakan dengan cepat, tetapi siap dengan kualiti tinggi dan memenuhi objektif asal.
“Bukan cukup dengan siap semata-mata. Ia mesti siap dengan baik, berfungsi, selamat digunakan dan memenuhi sasaran kenapa ia dilaksanakan,” katanya.
Akmal berkata tahun 2026 menjadi titik penting kerana pelaksanaan RMK13 perlu diterjemahkan ‘daripada dokumen kepada tindakan’, dan projek kecil akan menjadi antara indikator utama kejayaan kementeriannya.
“Cabaran pelaksanaan tahun 2026 ini bermula daripada dokumen sebesar RMK13 sehingga kepada hasil yang dirasai rakyat di peringkat tempatan. Di situlah ukuran kejayaan kita,” katanya.
Bagi memperkukuh kesiapsiagaan pelaksanaan, beliau berkata Kementerian Ekonomi akan mengadakan pemukiman khas pada 23 hingga 25 Jan ini bagi memperincikan indikator, sasaran serta pelaksanaan projek, termasuk projek kecil.
“Dalam pemukiman ini kita akan perhalusi indikator, sasaran, perincian kerja dan pelan tindakan. Kita mahu setiap inisiatif ada pemilik, ada garis masa dan ada tanggungjawab jelas,” katanya.
