Rayuan staf UM, guru cabar program vaksinasi Covid-19 ditolak

vaksin
Mahkamah Rayuan kekalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang memutuskan bahawa arahan Putrajaya yang mewajibkan kakitangan kerajaan menerima vaksin adalah sah dan mengikut perlembagaan.

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan menolak rayuan dua kumpulan yang mencabar pelaksanaan program vaksinasi Covid-19 oleh kerajaan lima tahun lalu.

Kumpulan tersebut, yang terdiri daripada kakitangan akademik dan pentadbiran Universiti Malaya (UM) serta guru sekolah kerajaan, merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak cabaran mereka terhadap arahan kerajaan Persekutuan yang mewajibkan mereka menerima vaksin.

Hakim Zaini Mazlan, yang mempengerusikan panel tiga hakim, berkata keputusan Mahkamah Tinggi yang disampaikan pada 2023 tidak mengandungi sebarang kesilapan yang boleh dirayu untuk membenarkan ia diketepikan.

Turut bersidang Hakim Ahmad Kamal Shahid dan Radzi Harun.

Menyampaikan keputusan mahkamah, Kamal berkata langkah vaksinasi diperkenalkan oleh kerajaan bagi membendung penularan Covid-19, yang telah meningkat menjadi krisis global.

“Usaha bersepadu untuk mengawal Covid-19 seperti vaksinasi adalah bagi memastikan kesihatan awam dilindungi,” katanya, sambil menyatakan bahawa Kementerian Kesihatan merekodkan lebih 2,000 kes sehari pada 2021.

Mahkamah juga ambil maklum bahawa lebih 19,000 kematian dikaitkan dengan penyakit tersebut.

Kamal berkata kakitangan UM yang memfailkan semakan kehakiman tidak dikenakan tindakan tatatertib kerana enggan menerima vaksin.

“Malah, sebahagian daripada mereka kekal dalam perkhidmatan manakala sebahagian lagi meninggalkan perkhidmatan awam,” katanya.

Beliau turut berkata tiada seorang pun perayu mengemukakan laporan perubatan untuk menunjukkan bahawa mereka sepatutnya dikecualikan daripada menerima vaksin.

Mahkamah mengarahkan kos sebanyak RM15,000 masing-masing dibayar kepada kerajaan dan pendaftar UM.

Peguam Amin Anuar, Adrian Yeow, Nurul Zawawi Abd Rahim dan Nurazatul Farhana Shahrudin mewakili perayu, manakala Peguam Persekutuan Kanan Liew Horng Bin dan Siti Norashikin Hassanor hadir bagi pihak kerajaan.

Pendaftar UM diwakili peguam Melanie Lim dan Raja Eileen Soraya Raja Aman.

Kumpulan tersebut berhujah bahawa keputusan kerajaan untuk melaksanakan program vaksinasi adalah tidak sah, tidak rasional dan tidak berperlembagaan kerana dibuat tanpa persetujuan mereka.

Mereka juga mendakwa telah didiskriminasi dan dilayan secara tidak adil kerana enggan menerima vaksin.

Dalam menolak permohonan semakan kehakiman kumpulan itu, Mahkamah Tinggi sebelum ini berkata langkah yang dirangka oleh kerajaan adalah perlu memandangkan penularan virus Covid-19 di seluruh dunia telah mencetuskan satu pandemik global.

Author: admin