Polis ambil 8 keterangan dakwaan palsu dokumen 7 pemain warisan

RUSDI MOHD ISA
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Rusdi Mohd Isa berkata pihaknya sudah membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan atas kesalahan penipuan. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Polis sudah merakam percakapan lapan individu dengan 45 laporan diterima setakat ini berhubung isu pemalsuan dokumen tujuh pemain warisan Harimau Malaya.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Rusdi Mohd Isa dipetik Berita Harian berkata, pihaknya sudah membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan atas kesalahan penipuan.

Polis memulakan siasatan sehari selepas Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) membuat laporan berhubung dakwaan pemalsuan sijil kelahiran pemain warisan pada 24 Dis lalu susulan syor jawatankuasa siasatan bebas dipengerusikan bekas ketua hakim negara, Md Raus Sharif.

November lalu, Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa) dilaporkan berkata, ia mengarahkan sekretariatnya memaklumkan pihak berkuasa jenayah di Malaysia bagi memulakan siasatan atas dakwaan pemalsuan dokumen tujuh pemain warisan kerana pemalsuan ialah kesalahan “hampir dalam semua bidang kuasa”.

FAM dan tujuh pemain bola sepak negara dihukum Fifa September lalu selepas badan induk bola sepak dunia itu mendakwa FAM mengemukakan dokumen palsu untuk mengesahkan kelayakan pemain sebelum perlawanan kelayakan Piala Asia 2027 Malaysia menentang Vietnam 10 Jun lalu.

FAM didenda CHF350,000 (kira-kira RM1.8 juta), manakala setiap pemain didenda CHF2,000 (kira-kira RM10,560) dan digantung 12 bulan daripada semua aktiviti berkaitan bola sepak, berkuat kuasa dari tarikh pemberitahuan.

Pada 3 Nov lalu, Fifa mengumumkan ia menolak rayuan FAM terhadap hukuman itu. FAM memulakan rayuan di Mahkamah Timbang Tara Sukan.

Author: admin