
PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan menolak permohonan Halim Saad untuk mendapatkan kebenaran merayu berhubung pengambilalihan pegangan beliau dalam Kumpulan Renong–UEM oleh kerajaan.
Panel tiga hakim dipengerusikan Hakim Besar Malaya Hashim Hamzah sebulat suara bahawa empat persoalan undang-undang dikemukakan Halim tidak memenuhi ambang kelayakan seperti diperuntuk di bawah Seksyen 96 Akta Mahkamah Kehakiman 1964.
Antara persoalan undang-undang dibangkitkan untuk pertimbangan mahkamah tertinggi itu ialah sama ada tuntutan terhadap kerajaan berhubung pelanggaran kebebasan asasi yang dijamin Perlembagaan Persekutuan tertakluk kepada Akta Had Masa 1953 atau Akta Perlindungan Pihak Berkuasa Awam 1948.
“Setelah meneliti persoalan dicadangkan pemohon, kami berpendapat ia tidak memenuhi ambang ditetapkan di bawah Seksyen 96,” kata Hashim dalam penghakimannya.
Hakim Mahkamah Persekutuan Azizah Nawawi dan Azimah Omar turut bersidang dalam panel itu.
Mahkamah turut memutuskan isu dibangkitkan tidak melibatkan persoalan baharu atau isu kepentingan awam yang memerlukan hujahan lanjut atau penentuan oleh Mahkamah Persekutuan.
Susulan keputusan itu, usaha Halim untuk menghidupkan semula saman terhadap bekas perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad, bekas menteri kewangan kedua, Nor Mohamed Yakcop, serta kerajaan, berakhir di peringkat itu.
Mahkamah turut mengarahkan Halim membayar kos berjumlah RM60,000 kepada pihak responden.
Halim memohon kebenaran merayu selepas Mahkamah Rayuan tahun lalu menolak rayuannya untuk menghidupkan semula saman tersebut, yang sebelum ini telah dibatalkan oleh Mahkamah Tinggi pada 9 Mei 2024.
Ia dibatalkan kerana difailkan di luar tempoh masa dibenarkan di bawah Akta Had Masa dan Akta Perlindungan Pihak Berkuasa Awam.
Dalam saman difailkan pada Ogos 2023 itu, Halim mendakwa Mahathir, Nor Mohamed dan kerajaan telah bertindak secara bersama untuk melucutkan kawalannya ke atas Renong dan UEM, sekali gus menyebabkan kerugian kewangan serta pelanggaran hak perlembagaannya.
Halim juga pernah memfailkan saman sivil terhadap Nor Mohamed pada 2013 dengan dakwaan beliau telah diperdaya. Kes itu dibawa sehingga ke Mahkamah Persekutuan namun ditolak pada 2015, sebelum Halim memfailkan saman baharu pada 2023.
Halim diwakili peguam Malik Imtiaz, Surendra Ananth dan Yvonne Lim, manakala responden diwakili Peguam Kanan persekutuan Hanir Hambaly @ Arwi serta peguam persekutuan Imitiyaz Wizni Aufa Othman.
