
PETALING JAYA: Ahli Parlimen Indera Mahkota Saifuddin Abdullah yang dipecat Bersatu semalam mendakwa beliau tidak menerima sebarang maklum balas daripada lembaga disiplin parti berhubung permintaannya untuk mengadakan satu perbicaraan baharu sebelum pemecatannya.
Saifuddin berkata beliau telah mengemukakan permohonan untuk perbicaraan semula dengan mengemukakan tiga tuntutan, termasuk meminta Presiden Muhyiddin Yassin memberi keterangan dalam perbicaraan itu.
Beliau turut menuntut supaya dua ahli lembaga disiplin, Radzi Manan (pengerusi) dan Sasha Lyna Abdul Latif, menarik diri daripada prosiding berkenaan kerana kemungkinan wujud konflik kepentingan.
Selain itu, Saifuddin meminta lembaga disiplin mendedahkan identiti individu menjalankan siasatan kesnya serta individu yang membuat aduan dan mengemukakan tuduhan terhadapnya.
Menurut Saifuddin, sekiranya semua tuntutan itu dipenuhi, beliau bersedia untuk memberikan kerjasama sepenuhnya kepada lembaga disiplin parti.
“Saya berhak mendapat perbicaraan yang adil. Namun sehingga 6 Jan, saya masih belum menerima sebarang maklum balas daripada lembaga disiplin,” katanya dalam kenyataan.
Saifuddin yang juga ahli majlis pimpinan tertinggi Bersatu telah dipecat daripada parti itu kerana didakwa melanggar Fasal 9.1.4 Perlembagaan Bersatu. Bagaimanapun, kesalahan itu tidak diperincikan.
Bekas menteri itu berkata beliau akan mengemukakan rayuan terhadap keputusan pemecatannya.
Saifuddin dipanggil menghadap lembaga disiplin selepas beliau secara terbuka menggesa Muhyiddin, yang ketika itu merupakan pengerusi Perikatan Nasional (PN), meletakkan jawatan.
Beliau juga telah digugurkan daripada jawatannya sebagai ketua PN Pahang.
Saifuddin menjadi Ahli Parlimen kedua yang dipecat daripada Bersatu.
Oktober lalu, Ahli Parlimen Tasek Gelugor Wan Saiful Wan Jan dipecat kerana melanggar disiplin parti.
