Wanita Indonesia, pekerja ladang mengaku tak salah bunuh suami

tawau
Mahkamah Tinggi Tawau menetapkan 23 Jan ini bagi lantikan peguam, manakala tarikh praperbicaraan, pengurusan kes dan serahan dokumen pada 27 Feb nanti. (Gambar Facebook)

PETALING JAYA: Seorang wanita warga Indonesia bersama seorang pekerja ladang mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi Tawau atas pertuduhan membunuh suami wanita itu dua tahun lalu.

Harian Metro melaporkan Suriani Anton, 46, dan rakan senegaranya, Dimas Hardi Muhammad Nur Kholik, 36, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di depan Hakim Steve Ritikos.

Kedua-duanya didakwa membunuh Lim Chee Yong, 53, suami Suriani secara bersama di Jalan POIC, Lahad Datu, kira-kira 4.10 pagi 31 Okt 2024.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman mati atau penjara 30 hingga 40 tahun.

Jika tidak dijatuhkan hukuman mati, mereka juga boleh dikenakan sebatan tidak kurang 12 kali.

Mahkamah menetapkan 23 Jan ini bagi lantikan peguam, manakala tarikh praperbicaraan, pengurusan kes dan serahan dokumen pada 27 Feb ini.

Author: admin