
PETALING JAYA: Umno Negeri Sembilan syor tempoh perkhidmatan menteri besar dihadkan tidak lebih 10 tahun, malah diperluaskan kepada ketua jabatan kerajaan, kata Ketua Jalaluddin Alias.
Jalaluddin yang juga exco kerajaan negeri, merujuk pengumuman Perdana Menteri Anwar Ibrahim untuk membentangkan rang undang-undang (RUU) had tempoh jawatan perdana menteri di Parlimen, semalam.
Beliau berkata, cadangan itu perlu dipertimbangkan di peringkat negeri kerana mampu mewujudkan urus tadbir lebih baik.
“Saya setuju pendekatan ini dilaksanakan di Negeri Sembilan, bukannya mempunyai niat terselindung, tetapi untuk kepentingan negeri dan rakyat.
“Bagi saya, ini merupakan satu pendekatan yang boleh ada penambahbaikan nilai dalam semua aspek termasuk urus tadbir, pembangunan dan ekonomi negeri,” katanya menurut Sinar Harian di Seremban.
Mengulas lanjut, Jalaluddin yang juga Ahli Parlimen Jelebu, berkata ketua jabatan juga tidak boleh mengetuai jabatan terlampau lama dan perlu dipindah atau ditukar, sekali gus mengelak berlakunya risiko rasuah atau salah guna kuasa.
“Kalau di peringkat negeri, itu juga boleh difikirkan kerana ketua bagi sesuatu organisasi dan negara, tidak boleh dipegang oleh mana-mana individu dalam tempoh terlampau lama.
“Ia termasuklah di jabatan yang mana sesuatu pengarah tidak boleh berada di sesuatu jabatan yang sama melebihi 10 tahun,” katanya.
