Umno kekal dalam kerajaan demi kelangsungan, kata penganalisis

pau 2024
Penganalisis berkata kedudukan Umno ketika ini lebih stabil dengan terus berada dalam kerajaan perpaduan berbanding mencari alternatif baharu.

PETALING JAYA: Penganalisis menyifatkan keputusan Umno kekal dalam kerajaan perpaduan sehingga tamat penggal adalah langkah rasional dan berasaskan strategi kelangsungan parti menjelang PRU16.

Rabi’ah Aminudin dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) berkata, keputusan itu dibuat berdasarkan pertimbangan realistik, memandangkan tempoh menuju PRU16 semakin singkat dan landskap politik semasa yang masih tidak stabil.

“Dalam tempoh setahun lebih menuju pilihan raya, keluar daripada kerajaan akan melibatkan terlalu banyak percaturan dan ketidaktentuan,” katanya kepada FMT.

Rabi’ah berkata, kedudukan Umno ketika ini lebih stabil dengan terus berada dalam kerajaan perpaduan berbanding mencari alternatif baharu, apatah lagi ketika parti lain turut berdepan masalah dalaman.

Bagaimanapun, beliau mengakui terdapat suara akar umbi yang tidak selesa dengan keputusan itu, namun kepimpinan parti dilihat membuat pertimbangan berdasarkan strategi politik jangka sederhana dan panjang.

“Untuk Umno terus bertahan sebagai parti politik Melayu, keputusan menentukan kerjasama dan pembahagian kerusi pada pilihan raya akan datang bukan perkara mudah. Buat masa ini, kekal bersama kerajaan perpaduan adalah pilihan paling stabil,” katanya.

Sementara itu, Awang Azman Pawi dari Universiti Malaya berkata keputusan Umno mencerminkan keutamaan terhadap kestabilan politik negara, selaras keperluan kerajaan untuk terus fokus kepada agenda pembangunan dan pelaksanaan dasar.

Katanya, jika Umno menarik sokongan, negara akan berdepan ketidaktentuan politik termasuk keperluan pembentukan Kabinet baharu sekali gus mengalihkan fokus daripada pembangunan rakyat kepada polemik politik.

“Umno melihat kepentingan negara secara keseluruhan. Kekal dalam kerajaan memberi ruang kepada parti untuk menyalurkan perkhidmatan dan bantuan kepada rakyat melalui sumber yang ada,” katanya.

Terdahulu, Presiden Umno Zahid Hamidi menegaskan parti itu akan kekal bersama kerajaan perpaduan sehingga tamat penggal, meskipun berdepan gesaan Ketua Pemuda Dr Akmal Saleh supaya sokongan ditarik balik dan parti beralih ke blok pembangkang.

Zahid berkata, Umno tidak akan melakukan ‘tebuk atap’ kepada kerajaan sekarang dan kembali bernostalgia dengan ‘cadangan’ tidak menjadi kenyataan sebelum ini, merujuk kerjasama dengan PAS melalui Muafakat Nasional.

Author: admin