
PUTRAJAYA: Umno kekal bersama kerajaan perpaduan sehingga tamat penggal, tegas Preside Zahid Hamidi, di sebalik gesaan Dr Akmal Saleh supaya parti itu menarik sokongan terhadap kerajaan perpaduan dan beralih ke blok pembangkang.
Zahid berkata parti itu tidak akan melakukan ‘tebuk atap’ kepada kerajaan sekarang dan kembali bernostalgia dengan ‘cadangan’ tidak menjadi kenyataan sebelum ini, merujuk kerjasama dengan PAS melalui Muafakat Nasional (MN).
“Daripada awal kita tidak akan pernah melakukan tebuk atap kepada kerajaan yang ada sekarang dan kita akan bersama-sama dengan kerajaan perpaduan ini hingga tamat penggal.
“Bila pun penggalnya yang akan diumumkan nanti ianya adalah penggal yang secukupnya sebelum PRU16 diadakan,” katanya pada sidang media selepas menyampaikan Amanat Tahun Baharu Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah.
Pada Sabtu, Akmal menggesa parti itu menarik balik sokongan terhadap kerajaan perpaduan dan beralih ke blok pembangkang, dengan mendakwa berlaku pelanggaran berulang ‘garis merah’ melibatkan isu 3R — kaum, agama dan raja.
Beliau berkata orang Melayu marah dengan isu stokin tertera perkataan ‘Allah’ dan bendera terbalik, namun mereka yang dikenakan tindakan adalah pihak yang ‘mempertahankan’ Islam dan Jalur Gemilang.
Akmal turut mendakwa orang Melayu tersinggung apabila arak dihidangkan pada satu majlis kerajaan.
BERITA LANJUT MENYUSUL
