
PETALING JAYA: Seorang bekas pengajar sekolah memandu mula jalani hukuman penjara lapan tahun hari ini, selepas Mahkamah Rayuan mengembalikan sabitannya atas kesalahan melakukan serangan seksual secara fizikal terhadap seorang gadis berusia 17 tahun pada 2021.
Lim Yoke Pin, 75, sebelum ini telah dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi daripada tuduhan tersebut.
Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang terdiri daripada Azman Abdullah, Hayatul Akmal Abdul Aziz dan Mohd Radzi Abdul Hamid hari ini membenarkan rayuan pihak pendakwaan mengetepikan pembebasan Lim dan mengembalikan keputusan Mahkamah Sesyen yang mensabitkannya atas kesalahan itu.
Ketika membacakan keputusan, Hayatul Akmal berkata, mangsa konsisten dalam keterangannya bahawa Lim meraba dada dan kemaluannya, dan tiada keterangan menunjukkan mangsa mempunyai motif untuk menganiaya Lim.
Bagaimanapun, beliau berkata, setelah mengambil kira faktor umur Lim, mahkamah mengetepikan hukuman 12 tahun penjara dan tiga sebatan rotan yang dijatuhkan oleh Mahkamah Tinggi dan menggantikannya dengan lapan tahun penjara.
Beliau memerintahkan Lim menjalani hukuman itu bermula hari ini, lapor Bernama.
Pada 9 Jun 2023, Mahkamah Sesyen Raub mendapati Lim bersalah atas kesalahan melakukan serangan seksual secara fizikal terhadap remaja perempuan itu di Jalan Desa Damai, Pahang, pada 14 Mac 2021.
Sehubungan itu, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan tiga sebatan rotan ke atasnya.
Pada 29 Julai tahun lepas, Mahkamah Tinggi melepas dan membebaskan Lim daripada tuduhan tersebut, mendorong pihak pendakwaan membuat rayuan kepada Mahkamah Rayuan.
Pada perbicaraan rayuan di Mahkamah Rayuan, Timbalan Pendakwa Raya Zaki Asyraf Zubir berkata, Mahkamah Tinggi telah tersilap dari segi fakta dan undang-undang, apabila membebaskan Lim daripada tuduhan itu.
Katanya, hakim Mahkamah Sesyen sebenarnya telah membuat dapatan bahawa keterangan mangsa adalah amat meyakinkan.
Bagaimanapun, peguam Chong Pei Yen yang mewakili Lim menggesa mahkamah supaya mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi.
Menurutnya, mangsa tidak membuat laporan polis serta-merta dan hanya membuat laporan kira-kira sejam kemudian.
