Ramalan cuaca signifikan dengan luruan monsun hingga 11 Jan

ribut angin hujan
Amaran hujan berterusan (waspada) telah dikeluarkan bagi Terengganu, utara Kelantan dan timur Pahang berkuat kuasa hingga 8 Jan, timur Johor berkuat kuasa dari 7 hingga 8 Jan. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan cuaca signifikan dengan luruan monsun dijangka berterusan hingga 11 Jan ini.

MetMalaysia dalam kenyataan memaklumkan, keadaan itu berpotensi membawa hujan lebat berterusan di timur Semenanjung dan barat Sarawak, selain angin kencang dan laut bergelora di Laut China Selatan dalam tempoh tersebut.

“Sehubungan itu, Amaran hujan berterusan (waspada) telah dikeluarkan bagi negeri Terengganu, utara Kelantan dan timur Pahang berkuat kuasa hingga 8 Jan, timur Johor berkuat kuasa dari 7 hingga 8 Jan.

“Manakala bagi barat Sarawak berkuat kuasa dari 9 hingga 10 Jan. Amaran angin kencang dan laut bergelora juga dikemas kini berkuat kuasa hingga 8 Jan bagi Laut China Selatan,” menurut kenyataan itu.

Orang awam dinasihatkan sentiasa merujuk laman web www.met.gov.my dan media sosial rasmi MET Malaysia serta memuat turun aplikasi myCuaca bagi maklumat terkini dan sahih.

Author: admin