Rakyat Malaysia paling ramai kunjungi Thailand tahun lepas

thailand
Lima pasaran utama pelancong asing Thailand terdiri daripada Malaysia dengan 4.52 juta pelawat, diikuti China (4.47 juta) dan India (2.49 juta). (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Thailand mencatat ketibaan lebih 32 juta pelawat asing sepanjang 2025, dengan lebih 4.5 juta rakyat Malaysia menjadi kumpulan terbesar pelancong.

Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan dan Sukan Thailand Natthriya Taweewong berkata, seramai 32,974,321 pelancong asing berkunjung ke Thailand antara 1 Jan hingga 31 Dis 2025, menjana pendapatan 1.53 trilion Baht (100 Baht = RM12.99).

Beliau berkata, lima pasaran sumber utama ialah Malaysia dengan 4.52 juta pelawat, diikuti China (4.47 juta), India (2.49 juta), Rusia (1.9 juta) dan Korea Selatan (1.55 juta).

“Secara keseluruhan, ketibaan pelancong asing tahun lepas menjana kira-kira 1.53 trilion Baht dalam pendapatan pelancongan,” katanya dalam kenyataan pada Selasa, lapor Bernama.

Bagaimanapun, katanya, ketibaan pelancong asing menunjukkan penurunan dalam semua segmen pasaran pada minggu pertama 2026, trend yang disifatkan normal selepas berakhirnya cuti Tahun Baharu.

Beliau berkata, jumlah ketibaan merosot 16.55% berbanding minggu sebelumnya kepada 724,971 pelancong, iaitu pengurangan sebanyak 143,823 pengunjung.

“Setakat 5 Jan 2026, Thailand merekodkan jumlah kumulatif 376,391 pelancong asing bagi tempoh 1 hingga 4 Jan, yang menjana pendapatan kira-kira 18.16 bilion Baht,” katanya.

Mengulas mengenai prospek masa hadapan, Natthriya menjangkakan ketibaan pelancong asing akan terus berkurangan pada minggu-minggu akan datang.

Namun, katanya, terdapat faktor sokongan yang kekal membantu, termasuk musim kemuncak pelancongan di Eropah dan Amerika, serta langkah-langkah menggalakkan syarikat penerbangan meningkatkan kekerapan penerbangan.

Thailand menyasarkan untuk menarik sekurang-kurangnya 38 juta pelancong antarabangsa tahun lepas, namun kejadian banjir besar yang melanda wilayah utara, timur laut dan selatan pada November menjejaskan sektor pelancongan serta memberi impak kepada ketibaan pelancong.

Author: admin