
PETALING JAYA: Isu utama cadangan mengehadkan tempoh jawatan perdana menteri bukan terletak pada had masa, tetapi prestasi kepimpinannya, kata Menteri Besar Kedah, Sanusi Nor.
“Kalau prestasi PM bagus, berapa penggal pun tak mengapa, sehingga 10 tahun, 10 penggal pun tak ada masalah. Kalau prestasi PM itu tidak bagus, tak payah tunggu habis satu penggal,” katanya menurut Sinar Harian.
Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat itu mengulas kenyataan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim semalam memaklumkan Rang Undang-undang (RUU) mengehadkan tempoh jawatan perdana menteri tidak lebih 10 tahun akan dibentangkan pada sesi Parlimen kali ini.
RUU itu membabitkan semua jawatan utama, termasuk ketua setiausaha negara yang tidak boleh melebihi dua penggal penuh dan turut terpakai kepada Jabatan Perdana Menteri.
Sanusi berkata, had penggal boleh merugikan negara, jika pemimpin yang dilantik pada usia muda terbukti cemerlang, tetapi tidak boleh dilantik semula hanya kerana kekangan berkenaan.
Menurutnya, Anwar yang kini 79 tahun mungkin sesuai dihadkan kepada dua penggal kerana jika dilantik bagi penggal berikutnya, usianya akan mencecah 85 atau 86 tahun pada hujung tempoh itu.
“Anwar umur 79 tahun sekarang, sesuai hadkan kepada dua penggal sebab kalau jadi PM kali kedua, umur cecah 86 pada hujung penggal. Isunya di sini, bukan pada tempoh masa, tetapi prestasi.
